Buat semua peminat makanan dari Sabah Sarawak, dan juga penduduk dari sana yang bekerja di Semenanjung, anda kini boleh mendapatkan stok makanan Sabah dan Sarawak kegemaran anda di sebuah kedai runcit yang terletak di Bazaar Primawalk, Puchong Prima.
Apa yang lebih menarik, kedai runcit yang diberikan nama Solo Borneo Mart itu dimiliki oleh bekas penyanyi kumpulan Kristal, Lan Solo.
Menurut Lan, idea membuka kedai runcit berkonsepkan makanan kering dari tanah Borneo itu timbul setelah dia mendapat banyak pesanan untuk membawa barangan dari negeri-negeri tersebut sewaktu membuat persembahan di sana.
Disebabkan permintaan yang cukup tinggi daripada rakan-rakan, isterinya mencadangkan agar mereka membuka sebuah kedai runcit yang menjual barang-barang dapur dari Sabah dan Sarawak.
Antara makanan yang yang boleh didapati di kedai runcit Lan Solo ialah amplang sotong, tuhau, belacan, cornbeef, ikan kering, sambal ikan, bambangan (embang), kicap, cuka dan pelbagai lagi makanan tradisi dari Sabah dan Sarawak. Mee Kolok kering pun ada. Menarik!
Menurut Lan, kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan tersebut di Semenanjung juga merupakan faktor dia mengambil peluang untuk membuka kedai runcit yang menjual makanan tersebut.
Nama gelaran Lan Solo ‘melekat’ ketika Lan menyertai pertandingan realiti Gegar Vaganza musim ke-4 dan dia merupakan pemenang tempat ke3.
Semoga terus maju Lan!
Sumber:IloveBorneo