Kebaikan membersihkan rongga hidung menggunakan air

Umat Islam perlu berwuduk terlebih dahulu sebelum menunaikan solat.

Antara perbuatan sunnah dalam berwuduk yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW ialah istinsyaq iaitu menyedut air ke dalam hidung bagi mencuci rongga hidung.

Sebagaimana yang kita perlu yakini, setiap apa jua yang disarankan baginda Nabi Muhammad SAW adalah yang terbaik untuk kita contohi dan ikuti.

Begitu jugalah dengan istinsyaq yang baik untuk kesihatan dan turut disarankan oleh pengamal perubatan agar dilakukan setiap hari.

Daripada Abu Hurairah r. a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika salah seorang di antara kalian berwuduk, maka hendaklah ia menghirup air ke lubang hidungnya (intinsyaq), lalu ia keluarkan (istintsar).” (Riwayat Muslim, no. 237)

Cara berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung telah disebutkan dalam hadis daripada Abdullah bin Zaid r.a. yang bermaksud: “Kemudian ia berkumur-kumur dan memasukkan air dalam hidung melalui satu telapak tangan dan hal demikian dilakukan sebanyak tiga kali.” (Riwayat Muslim, no. 235)

Mari kita lihat kebaikan sunnah Nabi Muhammad ini dari sudut sains.

Hidung merupakan pintu masuk utama udara ke saluran pernafasan.

Rongga hidung kita diselaputi lapisan lendir dan rambut halus yang disebut sebagai sistem transport mukosilier (mucociliary transport system).

Lapisan ini berperanan untuk menapis, menyaring, menghangatkan dan melembapkan udara yang masuk ke dalam sistem pernafasan kita.

Sistem transport mukosilier merupakan sistem pertahanan hidung terhadap virus, bakteria atau partikel berbahaya yang terdapat dalam udara.

Jika sistem itu terganggu, kita akan terbersin dan lama-kelamaan hidung akan tersumbat. Maka, salah satu kaedah penjagaan kesihatan dan kebersihan serta pencegahan peny4kit adalah dengan mencuci rongga hidung.

Teknik mencuci rongga hidung (nasal irrigation) turut diadaptasi dalam pengubatan moden mulai abad ke-19 dengan menggunakan campuran air dan garam (sodium bikarbonat). Kaedah itu berkesan membantu menyelesaikan masalah selsema, rhinosinusitis mahupun rhinitis alergi.

Baru-baru ini saya telah melalui pembedahan rongga hidung bagi membetulkan septum yang bengkok. Pembedahan dilakukan di bawah penyeliaan Pakar Otorinolaringologi (ORL) Hospital USM, Prof Madya Dr Ramiza Ramza Ramli.

Dr Ramiza turut menyarankan agar rongga hidung dicuci dengan lebih kerap, seboleh-bolehnya setiap kali berwuduk sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Rupa-rupanya Dr. Ramiza pernah melakukan kajian saintifik berkenaan hal tersebut dan hasil kajiannya telah diterbitkan dalam jurnal antarabangsa pada 2018.

Kajian itu bertujuan melihat keberkesanan pencucian rongga hidung bagi mengurangkan kes jangkitan saluran pernafasan akut (acute respiratory tract infection) dalam kalangan jemaah lelaki yang menunaikan ibadah haji di bawah kelolaan Lembaga Urusan Tabung Haji Malaysia.

Maktab 72 telah dipilih bagi kajian itu, manakala Maktab 74 pula sebagai kumpulan kawalan.

Hanya jemaah lelaki Malaysia yang terlibat dalam kajian kerana lebih mudah bagi penyelidik untuk berinteraksi dengan mereka berbanding dengan jemaah perempuan.

Seramai 60 jemaah yang berumur antara 18 hingga 70 tahun telah dipilih, seramai 30 orang dalam kumpulan kajian dan seramai 30 orang dalam kumpulan kawalan.

Setiap peserta diberi diari untuk membuat catatan jika terdapat simptom pernafasan termasuk batuk, demam, sakit tekak, kahak, hidung tersumbat dan juga jika terdapat masalah dengan bau.

Mereka juga perlu mencatat berapa kali rongga hidung telah dicuci.

Semua peserta diminta membuat catatan yang sama. Bezanya hanya peserta daripada kumpulan kawalan tidak perlu mencuci rongga hidung ketika berwuduk.

Sebagaimana yang dijangka, hasil kajian menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan antara dua kumpulan tersebut.

Didapati simptom jangkitan saluran pernafasan jauh lebih rendah jika rongga hidung turut dibersihkan ketika berwuduk.

Kajian itu telah dipilih untuk dilaksanakan kerana jangkitan saluran pernafasan merupakan kes yang biasa berlaku terhadap jemaah haji.

Semoga kita semua dapat mempraktikkan segala sunnah Rasulullah SAW termasuk mencuci rongga hidung kerana setiap satu sunnah itu mempunyai kebaikan untuk diri kita sendiri.

 

 

 

Sumber:Dr Johari Yap via Sinar Harian

Facebook Comments