Niat asal seorang pereka grafik,
Badrul Akram Badaruddin, 30,mengambil gambar mata kanan anaknya, Luth Fateh Badrul Akram adalah sekadar untuk diabadikan sebagai kenangan.
Bagaimanapun, rezeki berpihak kepadanya apabila gambar itu dimu-at naik di Instagram (IG) syarikat peranti elektronik dunia, Apple tengah malam tadi.
Badrul cuma menyedarinya selepas dia menerima notifikasi daripada Apple di IG.
“Saya terima notifikasi dari Apple ketika hampir tidur tengah malam tadi. Apabila dibuka notifikasi itu, saya lihat gambar anak sudah dimuat naik di IG Apple.
“Saya terus kejutkan isteri untuk maklumkan perkara itu dan hilang terus rasa mengantuk saya kerana terlalu gembira,” katanya ketika dihubungi.
Bercerita lanjut, Badrul Akram berkata, gambar itu diambil ketika dia bersama isteri , Fathiyah Md Jamil, 30 dan anak, Luth Fateh, 4 serta Nia Sofea, setahun dalam perjalanan ke rumah ibunya di Taman Lela, di sini.
“Gambar itu dirakam secara spontan di dalam kereta kira-kira jam 6 petang sewaktu matahari terik.
“Saya ambil gambar itu menggunakan telefon bimbit isteri model Iphone 12 Pro Max sebelum memuat naiknya di IG awal Julai lalu dengan meletakkan tanda pagar #ShotoniPhone dan #ShotoniPhoneProMax.
“Tidak lama selepas itu, pihak Apple ada hubungi saya meminta butiran dengan memberitahu akan mempertimbangkan gambar saya itu tetapi saya tidak letak harapan tinggi kerana pernah juga dihubungi dua tahun lalu dalam satu cabaran gambar mod malam tetapi tiada maklum balas lanjut.
“Tak sangka pula gambar saya terpilih kali ini dan ia sekali gus merealisasikan salah satu impian saya iaitu mendapat pengiktirafan daripada Apple,” katanya.
Badrul Akram berkata, dia meminati seni fotografi sejak 2010 dan belajar teknik mengambil gambar daripada jurugambar berpengalaman selain mencubanya sendiri.
“IG Apple salah satu akaun yang sentiasa menjadi rujukan saya bidang fotografi ini kerana kebanyakan gambar dimu-at naik seperti ada mesej dan kisah di sebaliknya.
“Syukur sangat apabila gambar anak saya terpilih dan satu dunia dapat melihatnya.”
Sumber:HM