Kanak-kanak, remaja dapat Rm5 untuk solat subuh berjemaah di masjid Kampung Wakaf

Inisiatif yang dilakukan oleh Masjid Mukim Kampung Wakaf di sini dengan memberi sagu hati berbentuk wang tunai sebanyak RM5 kepada golongan kanak-kanak dan remaja yang hadir menunaikan solat subuh secara berjemaah sebelum ke sekolah membuahkan hasil apabila dilihat peningkatan golongan itu ke masjid dari hari ke hari.

Program Anak Muda Mengimarahkan Masjid yang dicetuskan oleh Saiful Amri Razali, 47, itu berjaya mendekatkan golongan kanak-kanak dan remaja dengan rumah Allah apabila mereka datang seawal pukul 5.15 pagi untuk solat subuh berjemaah.

Menurut Imam Muda Masjid berkenaan, Abdul Ghafar M. Salleh berkata situasi itu menghidupkan suasana solat Subuh dengan pertambahan jemaah yang lebih ramai khususnya dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

“Mereka perlu mendaftar kehadiran di pintu utama masjid sebelum mendirikan solat Subuh secara berjemaah. Kebanyakan kanak-kanak dan remaja ini terdiri daripada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Panggong, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Maharaja dan SMK Padang Pak Amat.

“Wang itu diagihkan oleh bilal masjid Hussin Junuh, 64, dan disaksikan sendiri Saiful Amri selaku penyumbang. Untuk makluman, kita tidak menggunakan wang tabungan masjid,” katanya di sini, semalam.

Abdul Ghafar memberitahu, pada Subuh pertama hanya 13 orang yang berjemaah dan jumlah tersebut terus meningkat kepada 24 jemaah dan semalam mencecah 36 orang.

Katanya, kanak-kanak dan remaja yang menerima sagu hati itu turut hadir untuk solat berjemaah pada waktu Magrib dan Isyak sekali gus membuktikan mereka mula jatuh cinta dengan masjid.

“Kita akan mengadakan satu slot tazkirah untuk kumpulan ini pada hujung minggu selepas solat Subuh kerana mereka tidak lagi bergegas untuk ke sekolah,” katanya.

“Saya harap selepas ini lebih ramai pihak akan tampil dan menyokong usaha menarik generasi muda untuk ke masjid,” ujarnya.

Sumbangan orang ramai amat dialu-alukan dan mereka boleh menyalurkan sumbangan ikhlas itu ke akaun Bank Islam Malaysia: 03-090-02-026634-6 (Tabung Masjid Mukim Kg. Wakaf) atau menghubung Saiful di talian 017-2056501 untuk proses rekod.

Sumber: Utusan