
Suasana tegang berlaku di KLIA apabila lebih 400 jemaah Haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ekoran tidak dapat berlepas ke Jeddah, Arab Saudi pada malam Khamis dipercayai menjadi mangsa penip-uan sebuah agensi pelancongan.
Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dikatakan menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).
Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.
Difahamkan ada dalam kalangan jemaah yang sudah tiba di Kuala Lumpur sejak 28 Jun lalu, namun penerbangan ditangguhkan atas alasan tertentu.
Menurut salah seorang jemaah haji dari Kelantan, Marina Abu Zahar, 52, kesemua mereka berdaftar dengan sebuah syarikat agensi pelancongan swasta bagi visa furada.
“Kami menunggu daripada jam 12.00 tengah hari selepas taklimat terakhir pada malam tadi mengatakan kita akan terbang pada 4.25 petang (Khamis).
“Kita berkumpul dari jam 12.00 tengah hari, dia delayed (tunda) kepada jam 7.00 malam. Sebab keadaan agak tegang, jadi kita cuba bertanya, tapi jawapannya sabar dan sabar.
“Memang kita boleh sabar lagi, kami duduk dalam empat hingga lima hari di sekitar KLIA ini, kejap hotel sana kejap hotel sini, duit pun dah banyak habis,” jelasnya ketika ditemui.
Marina menambah, beliau sebak dengan keadaan menimpanya dan jemaah yang lain.
“Ini pertama kali untuk mengerjakan haji, saya teruja, tapi bila benda itu dah terjadi kami reda… cuma cara yang berlaku itu kami kesal.
“Pergerakan kami diperkotak katikkan, masa kami dipermainkan, dalam kalangan kami bukan semua yang senang, visa furada haji perlu duit yang banyak, tapi saya rasa ada yang kumpul duit seumur hidup,” jelasnya lagi.
Tambah Marina, pasportnya dan jemaah lain masih lagi dipegang oleh syarikat agensi pelancongan berkenaan.
Malah ada di antara jemaah dikatakan telah membuat laporan polis di KLIA pada Khamis berhubung kejadian itu.
“Kami reda, memang tahu dah, last flight (penerbangan terakhir) jam 2.00 pagi ini tidak mungkin kita sampai ke Jeddah dan boleh masuk, memang mustahil, setakat ini sahaja kami.
“Saya cuma nak beritahu kepada ‘Tan Sri’ itu tadi, tolong lah sedar… jangan permainkan agama, jangan perkotak katikkan perasaan orang nak pergi haji.
“Bukan senang orang nak lalui benda ini, kami faham mungkin nama kami tidak dipanggil Allah, kami reda. Tolong jangan buat macam ni, terutama kepada orang kampung yang susah payah,” tegasnya lagi.
Seorang lagi jemaah yang dikenali sebagai Jamilah, 59, berkata beliau reda dengan apa yang berlaku kepada dirinya dan suami, sambil menyifatkan ia sebagai ujian daripada Allah.
“Sehingga ke saat ini kami masih tidak mendapat pasport kami lagi kerana ia masih dipegang oleh pihak agensi pelancongan,” katanya yang datang dari Terengganu dan membayar RM76,000 kepada agensi pelancongan untuk menunaikan haji bersama suaminya.
Jamilah berkata, kakitangan agensi pelancongan itu ada hadir bertemu dengan kumpulan terbabit namun mereka tidak mendapat penjelasan sebenar mengenai masalah itu.
“Kami tidak pernah ditunjukkan tiket kapal terbang dan visa tetapi kami meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada mereka namun tak sangka kami juga menjadi mangsa penip-uan,” katanya.
Turut berlaku kekecohan di luar KLIA apabila salah seorang agensi pelancongan dikerumuni jemaah yang inginkan penjelasan mengenai keadaan sebenar.
Bagaimanapun, selepas beberapa minit penjelasan diberikan, individu terbabit dilihat dibawa masuk oleh Polis Bantuan KLIA.
Ketua Polis Daerah KLIA ACP Imran Abd Rahman ketika dihubungi berkata pihak polis masih merakamkan keterangan daripada pengendali agensi pelancongan tersebut.
Sumbe:Awani,BH