Jualan sambal cecah RM5 juta, Mak Jenny dapat kejutan dari Nubhan

Jika April lalu, Penyanyi Nubhan membuat kejutan dengan menyewa helikopter buat ibunya, kali ini finalis Akademi Fantasia itu sekali lagi membuat kejutan dengan menyewa Limosin pula, khas buat ibunya, Badariah Omar, 77, atau dikenali sebagai Mak Jenny.

Nubhan, 36, atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad berkata, hadiah itu bersempena kejayaan perniagaan ibunya, Sambal Omak Jenny yang mencatat jualan RM5 juta dalam tempoh setahun.

“Itu kejutan untuk mak sempena jualan sambal mencecah RM5 juta dalam tempoh setahun selain meraikan genap setahun perniagaan ini diusahakan. Sejujurnya, saya tak menjangka mak mendapat jualan sebanyak itu. Ternyata ramai sayangkan Mak Jenny.

“Sebenarnya puas juga memujuk pihak Limosin untuk buat kejutan di Batang Kali, Hulu Selangor. Sebabnya itu kawasan kampung dan nak masuk ke resort agak susah. Tapi alhamdulillah, mereka bagi kerjasama juga.

“Saya sewa RM6,000 selama beberapa jam saja. Lebih mahal dari naik helikopter tempoh hari. Tapi demi mak tidak mengapa. Disebabkan mak jugalah saya dapat naik limosin dan helikopter. Pendek kata, kita kongsi rezeki,” katanya penuh semangat.

Menurut Nubhan, dia sebolehnya berusaha memenuhi setiap permintaan dan impian ibunya.

“Dari dulu lagi mak banyak keinginan. Cuma, dalam keadaan dirinya sekarang yang dah tua, kalau ke mana-mana kena ada orang ikut dan bantu pergerakannya. Jadi untuk memenuhi segala kehendak dia, apabila bisnes ini sudah sampai tahap ni, bukan saja mak saja, tapi orang lain juga dapat nikmatnya. Sekarang ini mak cuma nak menikmati hidupnya. Tak ada apa nak difikir dah.

“Ramai terhibur telatah mak yang spontan. Bila dah ramai suka, saya teruskan saja buat video. Saya tak pergunakan mak pun. Sebaliknya, dalam setiap video itu banyak memberikan mesej mendalam mengenai kasih sayang ibu.

Kita takkan miskin kalau nak buat apa-apa untuk mak. Malah, rezeki tu makin banyak.

Menurut penyanyi ini lagi, selepas ini dia berazam untuk membawa ibunya melancong ke Turki pula. Namun dia harus menunggu higga tiba musim bunga kerana Mak Jenny teringin untuk melihat bunga tulip.

Sumber:HM