Saksi nampak Zayn Rayyan berseorangan selepas 5 jam dilapor hilang

Dua kanak-kanak mendakwa ada terlihat Zayn Rayyan Abdul Matiin kira-kira 5 jam selepas anak istimewa itu disedari hilang oleh ibunya kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 5 Disember.

Dua saksi berkenaan dikatakan ada terlihat mangsa di tingkat dua dan tiga Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, dalam keadaan berseorangan.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata dua saksi berkenaan memaklumkan ada terlihat Zayn Rayyan antara jam 5 hingga 5.30 petang pada hari terbabit.

Bagaimanapun identiti kedua- dua kanak-kanak tersebut tidak didedahkan.

Menurutnya, kedua-dua saksi yang memberi petunjuk baharu itu dapat dikesan melalui pemeriksaan pintu ke pintu (mass screening) membabitkan penduduk Apartment Idaman di sini sejak 8 Disember lalu.

“Melalui mass screening itu, pihak polis mendapati ada dua kanak-kanak terlihat mangsa berada di tingkat dua dan tingkat tiga di Blok R pada hari berkenaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, katanya polis juga mengambil 10 lagi sampel DNA menjadikan jumlah terkini sebanyak 238 sampel.

“Setakat ini, kita juga sudah merakam keterangan 86 individu dan masih ada lagi individu yang akan dipanggil untuk dirakam keterangan,” katanya kepada BH, hari ini.

Untuk rekod, Zayn Rayyan, 6 tahun, disedari hilang kira-kira jam 12.30 tengah hari 5 Disember lalu, di blok kediaman mereka di Apartmen Idaman, sebelum ibunya membuat hebahan di media sosial selain membuat satu laporan polis pada jam 6.36 petang hari sama.

Terdahulu, pihak polis mempertingkatkan siasatan termasuk pemeriksaan pintu ke pintu serta melakukan saringan sampel DNA beramai-ramai di Apartmen Idaman dan setakat Ahad lalu, polis selesai mengambil sampel daripada 228 individu.

Ia bagi membantu siasatan polis dalam merungkai kes pembunuhan kanak-kanak istimewa berusia enam tahun itu yang ditemui mati di sebuah anak sungai kira-kira 200 meter dari rumah keluarganya di Blok R apartmen terbabit.

Semalam, Hussein memaklumkan polis menemui sehelai sarung kaki dalam takungan air di kawasan anak sungai berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyanditemui pada 6 Disember lalu.

Sarung kaki berkenaan berjaya ditemui selepas polis mengepam keluar air daripada kawasan takungan berkenaan, semalam.

Hussein berkata sarung kaki berkenaan akan diperiksa dan dianalisis terlebih dahulu untuk menentukan sama ada ia milik mangsa atau sebaliknya.

Sumber:BH online