Pelakon filem ‘Marah Marah Sayang’, Isma Aliff ditidurkan, rakan artis mohon doa peminat

PELAKON, pelawak dan juga penyanyi era 80an, Isma Aliff dikhabarkan kini ditidurkan di sebuah hospital.

Perkara itu dikongsi oleh sahabatnya yang juga pelakon Ebby Saiful Ali menerusi laman Facebooknya sebentar tadi.

Ebby Saiful

“Mohon pada sahabat-sahabat sekelian untuk mendoakan kesihatan sahabat saya pelakon, pelawak dan penyanyi, Isma Aliff yang kini berada di hospital dan sedang ditidurkan.

“Semoga segera diberi kesembuhan, amin Yaa ALLAH,”kongsi Ebby.

Bagaimanapun ketika dihubungi,bagi mengetahui perkembangan lanjut mengenai situasi Isma, Ebby enggan mengulas lanjut.

“Saya akan kongsikan perkembangan beliau kemudian. Cuma menurut saudaranya, Isma Aliff masih lagi ditidurkan,” jelasnya ringkas.

Menjengah ruangan komen, ramai yang meninggalkan doa kesembuhan buat artis yang berusia 59 tahun itu.

Nama Isma Aliff atau nama penuhnya Muhammad Latiff Ismail mula dikenali selepas menerajui watak utama dalam filem Marah-Marah Sayang pada tahun 1987 bersama Ebby Saiful, Shah Rezza, Connie dan Liza Abdullah.

 

 

Antara babak menarik dalam filem Marah Marah Sayang

Isma juga turut berlakon dalam filem Jaket Biru dan Sayang Ibu.

Selain itu, beliau juga aktif dalam drama dan pernah berlakon di bawah arahan Aziz M Osman pada tahun 2000 menerusi drama Romeo.

Selain berlakon dan berlawak, Isma Aliff pernah menghasilkan empat buah album sendiri iaitu Eksyen Saja, Dengar Tau, Kembara Duka dan Macam-Macam Ada.

 

 

Sumber:Sinarplus