Natasha Hudson beri bayangan perkahwinan keempat berakhir

STATUS rumah tangga Natasha Hudson dan suami, Noor Nashriq Sekarnor mula menjadi tanda tanya apabila pelakon itu sudah memadam foto-foto bersama lelaki itu di laman Instagramnya.

Menerusi Instastory pada Sabtu, Natasha menjawab pertanyaan daripada rakan wanitanya mengenai cara untuk berhadapan dengan masalah melibatkan suami berlaku curang.

Natasha seakan memberi bayangan mengenai status rumah tangganya.

“Saya terima banyak soalan mengenai perkara ini daripada rakan. Soalannya, bagaimana jika suami saya sudah tidak mencintai saya, berlaku curang, mendera mental saya dan perkahwinan ini sudah runtuh.

“Jawapan saya, lari, keluar dari situasi itu dan tinggalkan (sebab saya sudah lakukannya) dan saya sangat gembira sekarang. Jangan bazirkan masa yang sangat bermakna, tenaga untuk sesuatu yang tidak berbaloi masa anda.

“Senang. Teruskan hidup dan jangan hidup dengan kritikan orang sebab mereka tidak tahu apa yang terjadi di sebalik pintu tertutup. Ini adalah kehidupan anda bukan mereka,” tulisnya.

Bagaimanapun Natasha masih belum mengesahkan status sebenar rumah tangganya dan cuma memuat naik status di Instagramnya memberitahu yang dia enggan menjalani kehidupan dalam keadaan berse dih.

“Saya percaya ini adalah masa yang tepat. Saya tidak dilahirkan untuk dapatkan sesuatu yang kekal seperti yang saya mahu. Mungkin bukan sekarang. Saya bukan awak.

“Mungkin nanti dengan orang yang tepat atau di kehidupan lain. Saya tiada masa untuk berse dih. Saya hanya ada masa untuk kongsi kegembiraan kepada orang di keliling saya.

“Sesiapa yang kenal saya tahu yang saya seorang penuh dengan emosi, penghibur, sukakan cabaran dan saya sentiasa mahukan kebahagian. Saya hanya berdoa yang terbaik untuk diri saya dan anda,” katanya.

Natasha dan Noor Nashriq mendirikan rumah tangga pada 7 Disember tahun lalu dan ia merupakan perkahwinan kali keempat buatnya.

Natasha mempunyai tiga orang anak perempuan.

Pada Oktober tahun lalu, Natasha atau Natasha Liana Hudson mengakui dia sudah bercerai dengan bekas suami, Carleed Khaza atau Khalid Kamal yang dinikahinya pada April 2012.

Sepanjang enam tahun berkahwin, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Naeema Kalila dan Faatimah.

Sebelum itu, Natasha pernah berkahwin dengan Mohd. Faiz Mohd. Raih pada 2006 namun rumah tangga mereka hanya bertahan selama empat bulan.

Aktres itu kemudiannya melangsungkan perkahwinan dengan Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007 namun perkahwinan itu bertahan selama dua tahun.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Neesa Helena.