Tiada lagi semak samun, tapak rumah Mat Kilau sudah dibersihkan

Setelah sekian lama terbiar dan bersemak akhirnya tapak rumah kelahiran pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau di Kampung Kedondong di sini telah dibersihkan.

Menurut Ketua Kampung Kedondong, Mohd. Rozi Rozuki berkata, kerja-kerja pembersihan dilakukan Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselam-atan Kampung (JKKK) Kedondong selepas mendapat kebenaran waris pahlawan Melayu itu.

“Usaha membersihkan serta menceriakan kawasan tapak ini bagi memudahkan orang ramai dan pihak tentu yang kerap singgah ke sini sejak akhir-akhir ini selepas penayangan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.

“Lagipun tidak wajar dibiarkan semak-samun di sini sedangkan tapak ini sudah diletakkan papan tanda atau kenyataan yang memaparkan kehidupan tokoh ini (Mat Kilau) yang lahir di sini (Kampung Kedondong),”katanya di sini hari ini.

Sebelum ini Kosmo! ada melaporkan ketika nama Mat Kilau menjadi sebutan susulan sambutan hangat terhadap filem arahan Syamsul Yusof bertajuk Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, hakikatnya tapak rumah pahlawan berkenaan terbiar dan dipenuhi semak samun.

Hanya terdapat papan tanda tertulis sejarah pahlawan berkenaan masih teguh, manakala rumah Mat Kilau juga telah tiada disebalik semak samun yang memenuhi tapak rumah itu.

Menurut Rozi, dia tidak tahu keluasan kawasan tapak rumah tokoh itu, tetapi sudah pun mendapat kebenaran daripada seorang waris Mat Kilau, iaitu seorang cicitnya bernama Ismail Mat Kahar.

Jelasnya, pembersihan kawasan tapak telah dalam perancangan JPKK sebelum penerbitan filem epik tersebut, tetapi bermula hari ini selepas persetujuan daripada pihak warisnya selain untuk memudahkan perhatian pihak berwajib sekiranya ada cadangan untuk membina rumah tokoh tersebut.

Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa JPKK Kedondong, Fazli Daini berkata, kerja pembersihan tapak itu mengambil masa yang agak lama kerana keseluruhan tapak itu dipenuhi semak-samun dan pokok-pokok lain seperti pinang, kelapa dan buah-buahan.

Sumber:K!Online