Bertindak kurang matang, Bella Astillah minta maaf

Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, memohon maaf sekiranya hantaran yang dimuat naik di media s0sial baru-baru ini berkenaan suaminya, Aliff Aziz dan pelakon, Sophia Albarakbah menimbulkan rasa kurang senang netizen.

Pemilik nama sebenar Dayang Nabellah Awang Astillah, 28, mengakui hantaran yang dimuat naiknya tempoh hari bersifat kurang matang namun berjanji untuk belajar memperbaiki diri.

Menurut Bella,setiap orang mempunyai cara mengendalikan rumah tangga masing-masing. Ada yang berkongsi di media s0sial untuk menjadikannya sebagai pengajaran. Namun setiap teguran, ada betulnya juga.

“Saya sekarang berada dalam fasa memperbaiki diri. Mungkin ada perkara yang saya terlepas pandang.

“Saya minta maaf jika ada yang berasa tidak selesa dengan hantaran saya yang kurang matang,” katanya.

Penyanyi Tetap Disini itu enggan terpalit dengan cerita lama sebaliknya mahu meneruskan alam rumah tangga dengan lebih bahagia apalagi anak-anaknya sudah semakin besar.

“Tiada istilah ‘insecure’ sebab saya memang percayakan Aliff. Anak-anak juga sudah semakin besar dan boleh membaca. Saya jarang beri izin anak-anak saya pegang telefon kerana takut dia ternampak apa-apa berita mengenai saya dan suami di TikTok.

“Rumah tangga ada turun dan naik namun saya selalu memandang yang positif. Saya tidak mengulang kesedihan yang lalu,” jelasnya.

Sebelum ini, Bella memuat naik status menyelar tindakan pelakon Sophia Albarakbah dan mendakwa pelakon itu sengaja datang menonton persembahan suaminya, Aliff Aziz semasa konsert minggu ketiga All Stars Gegar Vaganza (GV10).

Hantaran tersebut mengundang kritikan warganet yang menganggap Bella cemburu tidak bertempat dan mempersoalkan kepercayaan Bella kepada suaminya.

Sumber:UM