Aida Aris dengar suara isteri Badrul menjerit dari dalam bilik

Ketika seluruh peminat hiburan tempatan masih terkejut dengan pemergian pelakon popular era 90an, Badrul Muhayat,
dramatis Aida Aris mendedahkan dia ada mendengar jeritan isteri Badrul, iaitu Norhayati Zulkapli daripada dalam bilik sebelum mengetahui sahabatnya itu sudah tidak lagi bernyawa.

“Pagi tadi, saya terkejut bila mendengar jeritan Norhayati daripada dalam bilik.

“Secara kebetulan, kami menginap di homestay sama, jadi saya bergegas ke biliknya dan mendapati arwah sudah tidak sedarkan diri.

Ujar Aida, mereka cuba memberi bantuan pernafasan, namun tiada respon dan mereka segera memanggil ambulans.

Difahamkan Aida dan Allahyarham Badrul Muhayat berada di Pulau Pinang kerana menyertai Karnival Uda di Jalan Baru Perai sejak semalam.

Aida berkata, kali terakhir berjumpa sebelum arwah masuk tidur, semalam.

“Saya tak perasan sebarang perubahan pada arwah. Dia pun nampak okay dan sihat sahaja.

“Arwah beritahu matanya mengantuk dan nak masuk tidur, malam tadi. Itu sahaja yang sempat kami bualkan sebelum arwah masuk bilik,” katanya lagi.

Jenazah arwah Badrul masih lagi berada di homestay dan isterinya kini masih berada di balai polis untuk membuat laporan.

“Setakat ini, kami masih menunggu Norhayati pulang dari balai polis.

“Jenazah masih berada di homestay, selepas itu barulah kita tahu keputusan bawa arwah ke mana,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Badrul, 55, disahkan meniggal dunia dalam tidur pada pagi tadi.

Beliau meninggalkan seorang balu, Norhayati yang baru dinikahi pada 18 April lalu dan merancang untuk mengadakan majlis resepsi pada Disember ini.

Allahyarham Badrul memiliki dua cahaya mata, hasil perkahwinannya yang terdahulu masing-masing berusia 14 dan 16 tahun.

Sumber:BH