Lelaki mati disambar petir ketika tidur di dalam rumah

Bila dah ajal, takkan lambat walau seminit pun.

Itulah yang berlaku kepada seorang lelaki di wilayah Tak, Thailand yang meningal dunia akibat dipanah petir ketika tidur di dalam rumahnya, lapor laman berita Thaiger semalam.

Jitpol, 47, disambar petir ketika berbaring di atas tilam. Kejadian sedih itu disaksikan sendiri oleh isteri dan dua anak perempuannya.

Rumah mangsa yang dibina daripada kayu dan beratapkan zink itu terus diperiksa selepas kejadian. Pasukan penyiasat menemui tilam yang diletakkan di atas lantai, baju milik mangsa dan syiling 7 baht.

Menurut anak sulung Jitpol yang bernama Kwan Khao, 16, keempat-empat ahli keluarganya biasa tidur di dalam satu kelambu.

Pada hari kejadian, hujan lebat beserta guruh dan kilat menyebabkan dia beralih tempat tidur berhampiran bapanya.

Jitpol sedang menjawab pertanyaan anaknya apabila kilat menyambarnya sebanyak dua kali. Dia kemudian rebah terlentang di atas lantai.

Isteri Jitpol cuba membantunya dengan melakukan urutan sebelum meminta bantuan jiran mereka. Walaupun sudah dibawa ke hospital, Jitpol gagal diselamatkan.

Kakak Jitpol yang bernama Suporn, 68, berkata, dia telah bermimpi mengenai tragedi itu dua hari sebelum insiden berlaku.

Sumber:K! online