Berang dilarang parkir di petak OKU punca tragedi langgar lari

SEPANG: “Dia hanya ke situ untuk beli roti tapi dilanggar lari pula oleh orang tak bertanggungjawab,” kata ibu saudara mangsa langgar lari di Shaftsbury Square, Cyberjaya, di sini, petang semalam.

Asnah Shamsuddin, 45, berkata anak saudaranya Wan Amirah Wan Alias, 31, baru pulang dari kerja dan singgah di sebuah kedai di situ untuk membeli makanan tersebut sebelum pulang ke rumah di kawasan berhampiran.

“Saya diberitahu, kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan seorang lelaki warga asing yang berang selepas pengawal keselamatan di situ tidak membenarkannya parkir di petak parkir orang kurang upaya (OKU).

“Disebabkan tu, lelaki tersebut memandu keluar kereta jenis Hyundai dalam keadaan marah sebelum merempuh beberapa kenderaan lain dan melanggar anak saudara saya yang turut berada di situ,” katanya.

Asnah yang juga Pengurus Kewangan di Kumpulan Media Karangkraf berkata, apa yang dikesalkannya, lelaki tersebut bukan sahaja melanggar dan menyeret anak saudaranya sejauh beberapa meter sehingga menyebabkan kematian, malah turut melarikan diri selepas kejadian. “Memang terkejut sangat bila dapat berita yang menimpa anak saudara saya tu.Tambah lagi dia jadi mangsa keadaan akibat sikap pentingkan diri serta perbuatan tidak bertanggungjawab orang lain.

“Saya harap pelaku dapat ditangkap cepat dan menerima hukuman setimpal dengan apa yang dilakukannya,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian oleh orang awam pada jam 7.34 petang.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal kejadian berlaku apabila suspek lelaki yang memandu kereta Hyundai melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Proton yang diparkir di sebelah kanan.

“Selepas melanggar kereta itu, suspek kemudiannya memandu ke kiri dan melanggar tiga lagi kenderaan iaitu jenis Toyota Avanza, Perodua Myvi serta Honda City yang diletakkan di petak parkir sebelah kiri.

 

“Pada masa yang sama, terdapat seorang wanita sedang melintas jalan dan dirempuh suspek hingga menyebabkan mangsa cedera parah,” katanya.

Abdul Aziz berkata, mangsa yang dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan bagaimanapun disahkan meninggal dunia jam 4 pagi tadi dan polis sedang giat mengesan pemilik dan pemandu kereta berkenaan.

“Setakat ini, lelaki yang memandu kereta jenis Hyundai dengan nombor pendaftaran BHS 7999 itu masih belum tampil membuat laporan.

“Dia melarikan diri selepas kejadian dan usaha menjejakinya sedang dijalankan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan1987,” katanya.

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber: Awani