Tajuk Lagu ‘Anta Permana’ nyanyian Datuk Siti Nurhaliza dipetik dari perkataan Melayu klasik

PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin telah pun kembali dengan single terbaharunya berjudul Anta Permana hasil ciptaan dua komposer muda, Hael Husaini dan Ezra Kong.

Siti menerusi kenyataan kepada mStar memberitahu Anta Permana diambil daripada perkataan Melayu Klasik yang membawa maksud tidak terkira atau infiniti.

Jelasnya penyanyi berusia 39 tahun ini, pemilihan judul lagu ini selain maknanya bertepatan lirik, beliau ingin memperkenalkan kembali perkataan Melayu Klasik yang jarang digunakan dalam kalangan generasi muda.

“Ia mengisahkah cinta sejati yang tiada bandingannya dan pemilihan judul lagu ini selain maknanya bertepatan lirik, saya ingin memperkenalkan kembali perkataan Melayu Klasik yang jarang digunakan.

“Saya menaruh harapan yang tinggi dengan kemunculan single terbaru ini dan berharap agar para peminat muzik tempatan akan menyukainya.

Mengimbau idea kolaborasi itu, Siti berkata, Hael menyatakan hasrat untuk memberikan lagu ciptaannya pada Februari lalu sebelum tertarik dengan demo yang dihantar kepadanya pada Mei lalu.

“Saya tertarik dengan lagu ciptaan Hael dan Ezra ini sewaktu pertama kali mendengarnya. Tanpa berfikir panjang, saya bersetuju merakamkan lagu itu kerana yakin dengan bakat dimiliki oleh dua komposer muda ini,” katanya.

Siti menyifatkan Anta Permana adalah sebuah lagu yang segar, mesra telinga (catchy) serta ada keunikan dengan gabungan muzik moden dan klasik.

Sementara itu, Siti juga telah menjalani penggambaran muzik video yang diarahkan oleh Rifaiee Omar dari Rio Films Production.

Ana Permana kini boleh dimuat turun di semua platform digital seperti Apple Music (iTunes), Spotify, Joox dan KKBox.

Lirik lagu Anta Permana
Bicara minda dendangan hati
Jiwa dan raga yang melengkapi
Bagaikan bagaikan hangat mentari
Cinta yang sejati

Jauh di mata dekat di hati
Jika dirindu jangan curangi
Ke mana ke mana kan terbawa pergi
Terduga diuji

Ku bila tersedar semuanya
Sempadan ilusi

Andai bintang kan tak lagi berseri
Janji kasih yang takkan terkhianati
Andai habis nafas ku yang terakhir
Masih ku cinta
Kerna ku pasti kau tiada pengganti

Sedangkan lidah tergigit jua
Inikan pula cinta manusia
Melayang melayang dibawa pawana
Iringi cintamu

bila tersedar semuanya
Sempadan ilusi

Andai bintang kan tak lagi berseri
Janji kasih yang takkan terkhianati
Andai habis nafas ku yang terakhir
Masih ku cinta
Kerna ku pasti kau tiada pengganti

Biar dikenang kasih, budi dan sayang
Biar biarkan cinta anta permana

Andai bintang kan tak lagi berseri
Janji kasih yang takkan terkhianati
Andai habis nafas ku yang terakhir
Masih ku cinta
Kerna ku pasti kau tiada pengganti
kau tiada pengganti

 

 

Sumber:mStar