Iman Baru-Punca Kemunculan Semula Nazrey (Raihan)

Nazrey kini muncul dengan single baharu yang diberi judul Iman Baru.

Jika menjenguk kembali kepada album Nasyid Nostalgia Memori The Zikr, sudah pasti ramai di antara kita yang mengenali penyanyi tersebut hanya daripada rupanya. Tidak lain dan tidak bukan, beliau ialah Ustaz Nazrey Johani, bekas ahli kumpulan nasyid Raihan yang sangat popular suatu ketika dahulu.

Antara album yang menjadi perhatian ramai rakyat Malaysia pada ketika tersebut adalah Puji-Pujian (1996), Allahu (2004), Musafir Perjuangan (2010) dan banyak lagi. Nazrey juga dianggap sebagai salah satu watak penting dalam kumpulan Raihan dengan kehebatan vokal beliau.

Kini pada tahun 2018, Nazrey masih membanting tulang dalam menyebarkan lagu berunsur ketuhanan melalui alunan muzik daripada genre berkenaan. Uniknya pada kali ini, Nazrey kembali tampil dengan lagu terbaharu berjudul Iman Baru yang digubah, dirombak dan diolah bersama LoQue.

Kerjasama tersebut dirancang pada mulanya oleh Datuk Ahmad Farid Abd. Jalal bersama Perbadanan Muzium Negeri Pahang. Menurut Farid, penerbitan Iman Baru merupakan sebuah usaha untuk mempromosikan Muzium Masjid Sultan Abdullah.

Muzium Masjid Sultan Abdullah merupakan sebuah bangunan masjid lama yang mempunyai dua fungsi iaitu sebagai sebuah masjid iaitu tempat ibadat masyarakat Islam dan pada masa sama merupakan sebuah muzium yang boleh dilawati oleh semua golongan tanpa mengira bangsa mahupun agama.

Melalui muzium masjid berkenaan, masyarakat dengan pelbagai latar belakang kehidupan akan dapat mengenali Islam dengan lebih dekat.

“Seperti semua sedia maklum, Nazrey merupakan seorang pendakwah yang sentiasa berusaha untuk mengembangkan ajaran Islam kepada semua lapisan masyarakat melalui lagu-lagunya.

“Usaha tersebut telah memungkinkan penubuhan Al-Tahfiz Bayu Syahadah di Ranau, Sabah. Justeru, Perbadanan Muzium Negeri Pahang berasa usahasama dengan Nazrey mampu mempromosikan Muzium Masjid Sultan Abdullah dengan lebih baik.

“Muzik merupakan suatu cabang ilmu yang tidak dibuang sewenang-wenangnya dalam Islam selagi mana ia tidak melalaikan dan bersifat mendidik,” ujar Farid panjang lebar.

Kolaborasi bersama MonoloQue
Mengulas mengenai pemilihan MonoloQue sebagai gandingan bersama Ustaz Nazrey, Farid berkata, pihak mereka teruja dengan keunikan genre muzik yang diketengahkan oleh MonoloQue yang disifatkan sesuai dengan peranan Perbadanan Muzium Negeri Pahang dalam memelihara dan mengetengahkan warisan budaya Melayu dalam pelbagai media.

“Pendekatan MonoloQue memilih untuk menghasilkan lagu dakwah yang lari daripada kebiasaan menggunakan lenggok Arab juga bertujuan untuk memberi pemahaman bahawa Islam bukan hanya untuk bangsa Arab. Perbadanan Muzium Negeri Pahang yakin pendekatan yang dibawa ini dapat menarik bukan sahaja golongan peminat lagu-lagu dakwah tetapi melalui gandingan muzik yang unik ini juga akan dapat menarik lebih ramai kelompok bukan pendengar lagu dakwah,” ujarnya lagi.

Menyentuh mengenai kerjasama yang terjalin, Nazrey berkata: “Memang menarik. Saya juga ada mendengar MonoloQue dan apa yang saya suka mengenainya, dia suka ketengahkan perkara yang orang lain tidak akan buat.”

Kata LoQue pula: “Saya teruja kerana dapat bekerjasama dengan salah seorang legenda nasyid tanah air tapi pada masa sama, agak terkesima kerana berpeluang untuk mencorakkan lagu-lagu nasyid dengan cap mohor MonoloQue serta mempelbagaikan irama nasyid sehingga 360 darjah (audio dan visual).”

Sumber:Kosmo