Emelda-Adlin kini cari anak angkat perempuan pula

“SAYA nak anak perempuan. Kalau tahu atau dengar ada pihak yang nak beri, beritahu saya ya. Mudah-mudahan Allah SWT membalas niat baik dan budi kalian semua,” kata pelakon Emelda Rosmila yang meluahkan hasrat untuk mengambil anak angkat kedua.

Emelda, 38, atau nama sebenarnya Emelda Rosmila Abdul Hamid yang sebelum ini mengambil anak angkat lelaki berkata, dia pernah mencuba untuk mendapatkan anak angkat perempuan sejak dua tahun lalu, namun belum ada rezeki.

Malah, Emelda yang juga isteri kepada pelakon, Adlin Aman Ramli turut meminta bantuan rakan dan keluarga bagi mendapatkan anak angkat.

“Sejak anak angkat pertama berusia lima tahun, saya cuba untuk dapatkan seorang lagi anak perempuan sampai sekarang. Namun belum rezeki saya lagi.

“Sebelum ini ada yang mesej secara peribadi nak menyerahkan anak, tetapi saya terlambat beri maklum balas. Apabila saya tanya, anak berkenaan sudah diserahkan kepada keluarga lain.

“Ada juga yang mahu beri, tetapi minta duit dalam jumlah banyak. Saya menolak sebab ia seolah-olah menjual anak,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Emelda turut berkongsi perkara itu di Instagram miliknya dan mendapat maklum balas positif daripada peminat.

“Alhamdulillah, ramai yang sudi membantu dan menyarankan saya pergi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sekurang-kurangnya ia buka jalan kepada saya dalam usaha ini.

“Kalau dapat bayi yang baru lahir lagi bagus. Sebab saya sudah ada pengalaman sebelum ini. Jadi, tidak susah untuk saya menguruskannya.

“Saya juga bersyukur kerana keluarga sentiasa menyokong hasrat ini sekali gus turut membantu carikan anak angkat,” katanya.

Ditanya mengenai penerimaan Adlin, Emelda berkata, suaminya tidak pernah membantah atau membangkitkan sebarang isu.

“Saya dan suami sudah berkahwin selama 10 tahun. Sepanjang berkahwin, saya pernah hamil beberapa minggu iaitu selepas enam bulan berkahwin. Cuma, mungkin belum rezeki saya mengalami keguguran. Hingga sekarang, saya dan suami tidak pernah berhenti cuba mendapatkan anak sendiri.

“Namun, disebabkan usia yang kian meningkat, saya berasakan lebih baik ambil anak angkat dahulu. Suami juga tidak kisah dan dia juga sukakan kanak-kanak.

“Dalam perkara ini, saya reda jika tidak dikurniakan anak kandung. Sekurang-kurangnya saya dan suami ada anak angkat untuk kami berikan kasih-sayang. Ini juga rezeki untuk kami,” katanya.

Sumber: Harian Metro