Penjenayah selit nota minta maaf

“SAYA nak minta maaf sebab dah curi motor abang. Saya tak ada niat nak curi, tapi saya nak ambil pengalaman naik motor besar. Saya betul-betul minta maaf.”

Itu nota ditulis penjenayah kepada pemilik motosikal berkuasa tinggi selepas melarikan motosikal jenis Yamaha R6, dalam kejadian di pangsapuri Flora Damansara, semalam.

Nota berkenaan diselitkan di bahagian tingkap pemandu kereta Ford Fiesta mangsa yang turut dipecah suspek sama dan ditemui pemilik pagi tadi.

Pemilik motosikal, Mohd Khairul Anuar Mohd Jamil, 32, berkata, nota itu dipercayai diselitkan penjenayah sama yang datang semula ke kawasan Flora Damansara sekitar malam tadi selepas kes kehilangan motosikal itu tular di media sosial sejak semalam.

“Nota itu diselitkan di bahagian cermin kereta saya yang pecah dan di bahagian belakangnya tertulis motosikal saya berada di kawasan letak motosikal di kawasan kondominium Empire Damansara.

“Mulanya, saya ingat ada orang mahu mempermainkan saya, tapi bila pergi ke lokasi itu pagi tadi, memang ada motosikal saya di situ dan terus memaklumkan kepada polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Khairul berkata, motosikalnya disedari hilang semalam kira-kira 8 pagi ketika ingin pergi ke tempat kerja.

“Selain hilang motosikal, kereta saya turut dipecah suspek sama yang melarikan beberapa barang berharga seperti cermin mata dan pengimbas SmartTag.

“Jadi, saya syak suspek jumpa kunci pendua motosikal di dalam kereta dan ambil kesempatan melarikannya,” katanya.

Menurut Mohd Khairul, bagaimanapun dia bersyukur apabila dapat menemui semula motosikal kesayangannya itu.

“Saya sayang motosikal itu dan membelinya disebabkan minat motosikal berkuasa tinggi sejak kecil lagi.

“Jadi, bila ia hilang, saya rasa sedih sebab motosikal itu bukan saya gunakan untuk berlumba, sebaliknya lebih kepada minat,” katanya.

Beliau berkata, dia sudah memaafkan perbuatan penjenayah berkenaan yang turut menyebabkan barang berharga serta cermin tingkap keretanya pecah, namun menyerahkan kepada polis bagi tindakan undang-undang.

“Saya sudah maafkan penjenayah itu, namun perbuatan itu adalah satu kesalahan jenayah dan harap polis dapat menahannya untuk tindakan undang-undang.

“Lagipun, saya tidak mahu orang lain menjadi mangsa penjenayah sama yang melakukan jenayah pecah kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada mangsa, pagi semalam.

Katanya, motosikal yang dilaporkan hilang juga sudah ditemui dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek berkenaan.

 

Sumber:hMetro