Saharul Ridzwan tak sangka dilamar Ajai jadi penyanyi rap

PELAKON Saharul Ridzwan tidak menyangka pertemuannya dengan komposer Ajai tahun lalu membuka ruang untuknya bergelar seorang penyanyi rap.
Saharul berkata, pada asalnya dia hanya ingin menyerahkan beberapa lirik yang dihasilkan yang mungkin sesuai untuk diberikan kepada penyanyi lain namun Ajai meminta dia menyanyikan sendiri lirik yang telah dihasilkan.

“Sejujurnya minat dalam bidang muzik itu sudah lama cuma saya sedar diri tiada bakat dalam nyanyian tetapi saya minat menyanyi secara rap.

“Begitu juga bidang penulisan… Apabila ada idea saya suka menulis berdasarkan apa yang berlaku di sekeliling saya termasuk pengalaman diri sendiri.

Saharul Ridzwan (kanan) mendapat bimbangan Ajai untuk bergelar penyanyi rap.

“Saya sebenarnya berjumpa Ajai untuk serahkan lirik saya, mana tahu sesuai dengan muzik yang sedang dihasilkan untuk penyanyi lain namun tak sangka dia tawarkan saya untuk menjadi artis rakaman bawah naungannya,” kata Saharul kepada mStar Online.

Saharul ditemui pada pelancaran single debutnya berjudul Buku Putih yang turut menampilkan Ajai pada Selasa.

Pelakon drama Love You Mr. Arrogant itu kini bernaung dibawah syarikat rakaman Wake The Baby Records milik Ajai.

 

Saya akan terima setiap kritikan diberikan kerana dari situ saya dapat memperbaiki kesilapan dan kekurangan untuk lagu akan datang. SAHARUL RIDZWAN PENYANYI / PELAKON

Dalam pada itu, Saharul memberitahu dia sedar akan ada yang membandingkan kebolehannya sebagai penyanyi rap dengan bakat sedia ada namun menganggap ia sebagai satu penghargaan.

“Pada saya apabila orang buat perbandingan dengan otai sedia ada ia adalah satu penghargaan.

“Saya akan terima setiap kritikan diberikan kerana dari situ saya dapat memperbaiki kesilapan dan kekurangan untuk lagu akan datang,” ujarnya.

Saharul juga memberitahu penglibatannya dalam bidang muzik bukan sekadar suka-suka dan berharap akan diterima baik oleh penggemar muzik rap dan hip hop.

Pun begitu katanya, itu bukan bererti dia akan meninggalkan bidang lakonan kerana yakin ia dapat bergerak seiring.

Sementara itu, Ajai pula memberitahu dia tertarik untuk mengambil Saharul sebagai anak didiknya kerana berasa kagum dengan teknik penulisan yang ditonjolkan dalam lirik itu.

Mengakui Saharul tiada bakat dalam nyanyian namun Ajai memberitahu pelakon itu mempunyai aura tersendiri dalam menzahirkan bait lirik ditulisnya sebagai penyanyi rap.

“Jujur saya cakap dia bukan penyanyi yang bagus tetapi dia ada bakat besar sebagai rapper dan penulis lirik… Kebolehannya itu memang di luar jangkaan saya.

“Tugas saya untuk jadikan dia yang terbaik kerana saya nampak minat dia dalam bidang muzik selain saya nampak minatnya itu bukan untuk meraih populariti.

“Saya sendiri kagum apabila dia sanggup berkurung dalam studio selama tujuh jam semata-mata ingin belajar tentang tempo dan sentiasa terbuka untuk belajar perkara baharu,” ujarnya.

Atas dasar itu juga kata Ajai, dia sanggup melaburkan bajet mencecah RM100,000 bagi menghasilkan album pertama Saharul.

“Album pertama Saharul sedang dalam proses pembikinan dan semua lagu di dalam album tersebut liriknya akan dihasilkan sendiri olehnya.

“Melihat kepada kesungguhan dan kebolehannya dalam penulisan lirik membuatkan saya kagum dan percaya untuk menerbitkan albumnya tidak lama lagi,” jelasnya.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber:mstar