Apabila sudah berkahwin, pasti setiap wanita impikan cahaya mata, sama seperti pelakon Siti Elizad, tiada apa yang lebih berharga melainkan ingin dikurniakan zuriat.
Usia perkahwinan sudah memasuki empat tahun, sebelum ini Elizad sering berkongsi cerita bahawa dia sangat menginginkan cahaya mata.
Jika anda mengikuti akaun Instagram Elizad, beberapa hari lalu pelakon itu baru saja berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah bersama suami.
Menerusi entri tersebut Elizad ada memuatnaik gambarnya sedang mendukung seorang kanak-kanak perempuan berserta kepsyen yang menyentuh hati netizen.
Elizad menyertakan doa agar dia dan suami dikurniakan zuriat, serta memohon orang ramai turut mendoakan untuk mereka.
“Wahai Tuhanku, Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik . Sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan dari hamba-Mu.
“Doakan kami punya zuriat yg sihat, cantik & sempurna ya semua, dapat sorang pun dah memadai sangat-sangat. Saya juga mendoakan buat para isteri seperti saya . Moga punya rezeki buat kita semua,” tulisnya.
Diruangan komen, rata-rata peminatnya turut mendoakan agar Elizad dipermudahkan untuk menimang cahaya mata serta memberikan kata-kata semangat agar pelakon itu tidak berhenti berdoa. Apa pun Allah adalah sebaik-baik perancang dan kami mendoakan agar Elizad cepat dikurniakan zuriat.
Sebelum ini, Siti Elizad pernah berang dengan tindakan segelintir tetamu yang sering bertanya soalan berkaitan cahaya mata kepadanya ketika sedang sibuk meraikan Aidilfitri.
Elizad atau Siti Elizad Mohamad Sharifuddin, 34, menyifatkan soalan itu sebagai sensitif dan tidak menghormati perasaan orang lain.
“Kepada makcik-makcik bawang, yang kepochi (kepoh) masa beraya, ini aku nak cakap sikit bagi lekat dekat kepala. Soalan di hari raya, bila nak ada anak? Bila nak buat anak? Tak ikhtiar ke? Cara tak betul ke?
“Mari sini aku nak cakap aku ni manusia biasa, jadi tiada jawapan untuk semua itu,” tulisnya di Twitter dan Instagram miliknya pada Selasa.
Elizad mendirikan rumah tangga dengan duda dua anak, Shamsul Baharin Rahman, 46, pada 11 Januari 2015.
Lebih menjengkel lagi kata Elizad, pertanyaan tersebut diikuti dengan tindakan memegang dan mengusap perutnya.
Pelakon drama Teman Lelaki Upahan itu berkata, pertanyaan tersebut juga menjejaskan emosinya untuk beraya.
“Sekarang aku faham macam mana budak-budak bujang yang belum ada jodoh, kau sibuk tanya bila nak kahwin? Aku yang sudah kahwin belum ada anak orang sibuk tanya bila nak ada anak?
“Pegang-pegang perut aku sambil cakap belum ada isi ke dalam? Menunjukkan betapa ceteknya didikan kau, kau rasa seronok ke melawak tentang benda tu semua?” ujarnya.
Elizad mengingatkan agar orang ramai tidak lagi bertanya tentang itu kerana ia bukanlah satu gurauan.
Tambahnya, sebagai seorang manusia biasa, dia sendiri tidak mengetahui rezeki dan jalan hidup yang sudah disusun untuknya.
Malah, dia juga mempunyai harapan untuk dikurniakan cahaya mata seperti mana pasangan suami isteri lain.
“Berhenti bertanya soalan begitu. Kalau tiada soalan nak tanya atau tidak reti bergurau lebih baik diam.
“Belajarlah menghormati perasaan orang sebab itu aku ni jenis tidak lama beraya dekat rumah orang,” katanya.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK
Sumber: yoy