Raja Hakim tak cemburu populariti adik, Raja Afiq lebih bersinar

Hakim (kiri) adalah pemenang Bintang DFKL 2017, manakala Afiq pula memenanginya menerusi DFKL 2016.

Realitinya, penglibatan Raja Hakim sebagai seorang pelakon sejak 2015 adalah lebih awal jika dibandingkan dengan adiknya, Raja Afiq yang baru bermula setahun selepasnya.

Namun atas percaturan yang direncanakan Ilahi, Hakim akur limpahan rezeki dalam bidang lakonan dilihat lebih banyak memihak kepada Afiq.

“Ia termasuklah kejayaannya bergelar bintang DFKL 2016 yang memberi laluan luas buatnya meneraju siri Sayangku Kapten Mukhriz siaran TV3, suatu masa dahulu.

“Dek watak utama tersebut, populariti Afiq naik mendadak sehingga wajahnya kerap dilihat menghiasi kebayakan drama terbitan TV itu.

“Kemudian, pada tahun berikutnya, barulah saya berpeluang mengecapi sedikit kemanisan dalam bidang ini sementelah cubaan di pentas uji bakat DFKL 2017 membuahkan kejayaan serupa,” cerita Hakim berkongsi pengalaman dilaluinya.

Pun begitu, dalam keadaan sedikit mengeluh, jejaka berkenaan perasan graf kerjaya seninya tidak secantik prestasi yang diperolehi Afiq sementelah menyandang status pemenang DFKL.

Raja Hakim bersyukur karier lakonannya semakin meningkat dan stabil.

Hakim bagaimanapun menilai senario dialaminya dari sudut yang positif tanpa wujud rasa prejudis.

“Saya yakin, aturan yang Allah takdirkan adalah sebaik-baik rencana biarpun kita sudah menyusun perancangan tersendiri,” tuturnya bernada pasrah.

Sementara itu, mengulas tentang peluang Hakim untuk menumpang populariti dimiliki Afiq, jelas reaksi awal muka pemuda tinggi lampai itu seperti tidak berkenan mempergunakan opsyen tersebut.

“Jujurnya, saya tak terdesak untuk mengambil kesempatan atas kesenangan yang Afiq perolehi walaupun sekarang ini dua drama lakonannya sedang disiarkan.

“Biarlah saya cari jalan untuk jana pendapatan sendiri dan begitu juga dia. Lagipun kerjaya lakonan saya masih bergerak aktif dan bersyukur atas rezeki limpahan-Nya,” ujar Hakim merendah diri.

Antara drama lakonan Hakim adalah Kekasih Paksa Rela, Dia Menantu Rahsia, Di Sisimu dan Viral Alam Maya. 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber:mhetv