ANGGOTA trio A To Z, Norazlan Abd Aziz atau Lann mengakui akur dengan perjalanan hidupnya yang mempunyai pasang surut.
Pernah mengecapi populariti menerusi lagu Darjat dan Itik Gembo-Gembo sekitar pertengahan 1990-an, suami kepada Siti Nur Ain Daut, 30, dan dikurniakan dua anak, Putera Muhammad Darwish, 7, dan Puteri Nur Darwisya, 4, kini senang meneruskan kehidupan sebagai deejay kenduri kahwin serta perkhidmatan menyewa peralatan sistem bunyi miliknya sendiri.
“Alhamdulillah…ada rezeki saya untuk cari makan dalam bidang yang masih berkaitan dengan seni.
“Wang pampasan pengambilan tanah sebanyak 50 peratus untuk peneroka Sungai Buaya dimanfaatkan oleh saya untuk beli peralatan ini.
“Kosnya tidaklah terlalu besar. Selain itu saya juga gunakan sebahagiannya untuk wujudkan studio sendiri di rumah,” katanya kepada Harian Metro.
Lann berkata, dia memilih karier ini selepas penat mencuba nasib dalam pelbagai bidang lain.
“Saya pernah menceburi perniagaan berkonsep Multi Level Marketing (MLM). Nak kata tiada untung tak juga kerana saya masih berjaya dapat wang.
“Tapi saya tak bertemu kepuasan kerana ia satu benda yang tak habis. Lagipun apabila menceburi perniagaan, saya dah mula jauh daripada bidang seni.
“Akhirnya saya buat keputusan kembali kepada bidang seni yang memang sangat diminati oleh saya,” katanya.
Menurut Lann, 50, dia bergerak sendirian dan setakat ini khidmatnya mendapat sambutan yang positif daripada masyarakat di Rawang dan di luar.
“Saya hanya mempromosikan di laman sosial Facebook. Alhamdulillah tempahan sudah mula diterima sejak itu.
“Seronoknya saya dapat kembali mendekati masyarakat. Persoalan mengenai perasaan malu atau ‘segan’ saya tolak tepi kerana yang penting saya cari rezeki halal untuk menyara keluarga.
“Dalam masa sama, saya juga mempromosi diri sendiri kepada peminat terutama golongan muda,” katanya.
Lann bagaimanapun tidak mudah memenuhi permintaan peminat untuk menyanyi kerana perlu membuat urusan yang lain.
“Saya datang sebagai deejay dan bukan untuk menyanyi. Jika mahukan saya menyanyi kenalah berikan bayaran tambahan.
“Apapun saya bukanlah demand kerana harga yang diletakkan tak terlalu tinggi,” katanya.
Dalam masa sama, Lann mengakui A To Z masih aktif tetapi sukar untuk mendapatkan kerjasama salah seorang anggota asal iaitu Chap.
“A To Z pernah dijemput menjayakan program Dimensi Lagenda terbitan RTM.
“Chap seakan tak berminat. Saya pula jenis malas nak fikir sehingga sakit kepala dan akhirnya buat keputusan tempatnya digantikan oleh orang lain,” katanya.
Semoga terus sukses,Lan!
Sumber:Harian Metro