6 Tahun Noh-Misz Nina cuba kaedah IVF untuk dapatkan zuriat

Memasuki usia lapan tahun perkahwinan, Noh Salleh ketika ditemu bual oleh stesen radio Zayan mendedahkan bahawa dia dan isterinya, Mizz Nina sudah enam tahun berulang-alik ke hospital bagi kaedah rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).

Tambah vokalis kumpulan Hujan itu, mereka sedaya-upaya berusaha untuk menyambut kehadiran ahli keluarga baharu selama mereka mendirikan rumah tangga.

“Kami mencuba teknik kesuburan ini setelah usia perkahwinan kami masuk tahun kedua dalam usaha untuk mendapatkan zuriat.

“Selama enam tahun ulang-alik ke hospital, buat IVF, cucuk perut dia. Kasihan pula tengok keadaannya.

“Hormon tak stabil, tiba-tiba dia akan emosi. Sampai sekarang memang kasihan melihatnya.

“Nak buat IVF kena ambil telur. Masa nak buat proses tu yang menyebabkannya mengerang kesakitan,” kongsinya dalam video milik Zayan yang dimuat naik pada laman YouTube.

Tambah Noh, kesakitan itu sampai membuatkan Nina menggeletar dan bergegar perut menahan sakit.

Pada masa sama, Noh juga tak menafikan rasa cemburunya melihat rakan-rakan yang sudah mempunyai anak.

“Nampak AG (Hujan) bawa anak naik stage, kau tak sentap? Aku rasa macam seronok bila tengok,” akui Noh berterus-terang.

Bagaimanapun, Noh akur akan takdirnya bersama isteri dan menganggap belum rezeki mereka untuk menimang cahaya mata.

Sumber:MHetv