“NIAT baik tapi tak kena tempat,” begitulah reaksi aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi mengenai lambakan makanan berlebihan di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur.
Menurut Syed Azmi, banyak lagi lokasi lain yang memerlukan makanan dan kaedah sewajarnya harus diguna pakai dalam mengelak isu pembaziran yang saban tahun berlaku.
“Saya tak faham kadang-kadang ada sampai 13 kumpulan pada satu malam di Chow Kit. Sebenarnya banyak badan bukan kerajaan (NGO) dah memang ada jadual pemberian makanan.
“Kalau tengok kat tempat itu dah ada orang bagi makanan, tak perlu bagi lagi. Saya cakap terus terang, niat baik tapi tak kena tempat.
“Terkilan sebab makanan tu boleh bagi kat tempat lain, tapi bagi mereka di Chow Kit tu mudah. Perkara ini saban tahun berlaku,” katanya sewaktu dihubungi mStar pada Selasa.
Tambahnya, banyak lagi lokasi lain yang patut diberi perhatian seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR), hospital serta kepada pelajar-pelajar kolej dan sebagainya.
Selain makanan, lambakan pakaian juga turut kelihatan. Foto: Facebook Syed Azmi
Malah, dia juga menggalakkan NGO-NGO berkaitan agar fokus kepada kawasan sendiri dan mengelakkan lokasi hotspot seperti Chow Kit yang sudah tentunya sering menerima sumbangan makanan.
Mengulas lanjut isu itu, dia berkata lambakan juga berlaku kerana penerima-penerima di lokasi tersebut mempunyai banyak pilihan makanan.
“Ada yang bagi makanan tapi tak tanya pun, lepas tu takkan orang lalu lalang dan gelandangan tu tak nak terima kalau orang hulur, nanti kata tolak rezeki.
“Kalau dah banyak pilihan makanan yang dapat, memang akan berlaku pembaziran. Makanan pula bukan boleh simpan,” katanya lagi.
Selain makanan, isu pemberian baju turut ditegur aktivis itu.
Ujarnya, dalam konteks menghulurkan sumbangan atau derma, banyak aspek perlu diambil kira, bukan semata-mata memberi sahaja.
Lambakan makanan dan pakaian diberikan kepada gelandangan. Foto: Facebook Syed Azmi
“Kumpulan gelandangan ni tak ada rumah, mereka tak ada akses air bersih, almari, seterika dan sebagainya.
“Ada yang bagi baju jenis kena seterika, kadang-kadang dalam kotak ada satu saiz sahaja. Niat baik nak bagi tapi cara salah. Akhirnya berlaku pembaziran,” katanya lagi.
Menerusi posting di Facebook miliknya, Syed Azmi berkongsi beberapa foto lambakan makanan yang dirakam di sekitar Chow Kit.
Katanya, foto-foto itu dikirim oleh ahli kumpulannya dan ia dirakam dalam tempoh sejak seminggu lalu.
Ia pantas menarik perhatian netizen dan ramai turut meluahkan rasa kurang senang dengan pembaziran yang berlaku.
“Sayangnya rezeki terbuang. Kalau edarkan di flat-flat PPR pun mesti ramai yang memerlukan,” tulis Hazrina Nasir.
“Every year macam ni kan Mi. Banyak kali dah bagitahu sebelum nak bagi tu get in touch la dulu dengan group yang memang selalu turun, buat survey,” tulis Ell Rahman.
“Dah jadi satu trend. Bulan Ramadan je bantu gelandangan kat Chow Kit dengan bagi makan. Adakah orang susah hanya wujud di Chow Kit sahaja,” soal seorang lagi netizen.
Posting Syed Azmi sehingga kini menerima lebih 1,500 tanda suka dan dikongsi lebih 700 pelayar Facebook.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK
Sumber:mstar