Datuk Eizlan terima pengiktirafan antarabangsa

“Malaysia, ini untuk anda!” itu luahan pelakon dan penerbit, Datuk Seri Idris Md Yusof, 48, atau Eizlan Yusof selepas menerima anugerah Asian Most Promising Actor Award di Festival Filem Art Chunsa ke-24 (24th Chunsa Film Art Awards) di Seoul, Korea Selatan semalam.

Eizlan berkata, ia satu penghormatan buatnya sebagai anak seni dari Malaysia yang menerima pengiktirafan tinggi di luar negara terutama dari Korea Selatan.

“Umum mengetahui negara itu maju dalam industri perfileman di peringkat antarabangsa.

“Ia juga membuktikan bakat dari Malaysia boleh melebarkan sayap ke luar negara dan secara tidak langsung membuka peluang kepada kita untuk mendapatkan kerjasama antara dua negara bagi memperkasakan industri kreatif Malaysia,” katanya.

Kategori Asian Most Promising Actress diberikan kepada pelakon dari China, Li Yixiao manakala Asian Most Promising Director diberikan kepada Bo Lin juga dari China.

Anugerah dimenangi Eizlan itu adalah kategori baru yang diwujudkan dalam festival yang diasaskan Persatuan Pengarah-Pengarah Filem Korea sejak 1990.

Dalam acara itu, filem Parasites arahan Bong Joon-ho menang empat anugerah termasuk pengarah terbaik.

Pelakon Ju Ji Hoon dan Cho Yeo-jeong pula masing-masing membawa pulang anugerah Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik.

Antara pelakon bertaraf antarabangsa yang pernah menang dalam pelbagai kategori pada anugerah itu sebelum ini ialah Ha Jung Woo, Lee Byung-hun dan Yoo Ah In.

Filem popular yang pernah mencipta sejarah dalam festival itu sebelum ini antaranya Train To Busan dan Along With The Gods: The Two World.

Eizlan berada di negara itu sejak 17 Julai lalu dan pulang ke Malaysia hari ini.

Sumber:HM