Profesor dari Korea bim bang masa depan tulisan jawi

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Seorang pakar tulisan jawi berbangsa Korea melahirkan kebimbangan tulisan itu semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda di Malaysia.

Prof. Dr. Kang Kyoung Seok (gambar), daripada Pusan University of Foreign Studies, mula mengkaji tulisan jawi sejak 1974 dan menganggapnya sebagai satu keunikan milik Malaysia.

Menurutnya, tulisan jawi sedang ‘ten at’ dan jika keadaan itu berterusan, ia mungkin pup us satu hari nanti.

“Malaysia perlu mendidik generasi muda dalam tulisan jawi. Sekarang terlalu ramai pakar saya kenali sudah bersara tanpa ada pengganti. Bila pakar sudah tiada, siapa akan menerajui usaha pemeliharaan tulisan jawi nanti?,” kata Dr. Kang yang fasih berbahasa Melayu kepada Bernama.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris menegaskan, media memainkan peranan penting dalam memastikan tulisan jawi digunakan secara lebih meluas.

Dr. Kang berharap akhbar yang menggunakan bahasa jawi seperti Utusan Melayu diberi nafas baru untuk menarik minat rakyat di negara ini membacanya.

Selain itu, katanya, pihak terlibat seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka perlu memainkan peranan dalam menterjemahkan lebih banyak buku ke tulisan jawi.

“Di Korea, kami terjemah banyak buku ke bahasa dan tulisan Korea kerana kami mahu rakyat kami lebih menguasai bahasa dan tulisan Korea daripada bahasa-bahasa lain.

“Bagi kami, bahasa dan tulisan Korea adalah jati diri rakyat kami. Dan pada pendapat saya, tulisan jawi merupakan jati diri Malaysia sendiri.

“Maka rakyat Malaysia perlu mempelajari tulisan jawi bagi memastikan mereka mempunyai jati diri Malaysia yang sejati,” kata Dr. Kang yang mula menjejak kaki ke Malaysia pada 1984 untuk melakukan kajian lebih mendalam terhadap tulisan jawi.

Menurut Dr. Kang, rakyat Malaysia kini lebih selesa dengan tulisan rumi yang digunakan secara meluas berbanding tulisan jawi dan ini menjadi faktor utama kenapa tulisan jawi semakin dilupakan.

“Selain itu, pengaruh barat juga menjadi penyebab kerana sistem ejaan rumi diambil daripada bahasa Inggeris, yang menjadikan rakyat Malaysia lebih selesa dengan sistem rumi,” jelasnya.

Dr. Kang menarik perhatian bahawa sistem ejaan jawi sekarang perlu dikembalikan kepada sistem ejaan jawi Za’ba yang lebih ringkas dan mudah dipelajari bagi menarik lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya generasi muda menggunakan sistem tulisan itu.

Beliau berkata, jika rakyat Malaysia menguasai sistem ejaan jawi Za’ba, mereka akan lebih mudah memahami sistem ejaan jawi yang lebih kuno, malah mampu memahami manuskrip jawi berusia ratusan tahun.

“Ini kerana asas ejaan jawi Za’ba menggunakan asas yang sama dengan tulisan jawi kuno yang berasal daripada tulisan al-Quran. Tulisan jawi sekarang asasnya daripada tulisan rumi yang ‘lari’ daripada asas tulisan jawi kuno,” jelas beliau.

Beliau berkata, Malaysia perlu melahirkan lebih ramai pakar tulisan jawi terutamanya daripada kalangan generasi muda bagi menggantikan pakar yang telah bersara. – BERNAMA.

Sumber: Utusan