Kepentingan Rukun Qauli dalam solat

SECARA umumnya, solat mempunyai 13 rukun terdiri daripada tiga bahagian iaitu rukun qalbi, fi’li dan qauli.

 

Barangkali ramai yang melanggar rukun qauli ketika melaksanakan solat. Malah, ada yang tidak mengetahui solatnya tidak sah misalnya pernah membaca Surah al-Fatihah hanya dengan menggerakkan mulut tanpa menyebut lafaznya dengan sempurna.

Rukun qauli berasal daripada perkataan ‘qaul’ bermaksud kata-kata. Ia adalah rukun berasaskan sebutan dan bacaan yang memerlukan seseorang melafazkan bacaan sekadar didengari telinga sendiri ketika takbiratulihram, membaca Surah al-Fatihah, membaca tahiyat akhir, selawat ke atas Nabi dalam tahiyat akhir dan melafazkan salam.

Sekiranya lima rukun qauli tidak dipenuhi, maka tidak sah solat seseorang itu. Syarat sah rukun qauli pula menyenaraikan kewajipan menyebut bacaan makhrajnya tepat, meneliti tasydid (baris sabdu) dan menjaga bacaan supaya tidak terputus di pertengahan ayat atau kalimat.

Menurut artikel Al-KafiLi Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, dalam mazhab al-Syafie, rukun qauli seperti Surah al-Fatihah wajib dibaca dengan bacaan yang didengari diri sendiri.

Dalam kitab I’anah al-Talibin menyatakan yang bermaksud: “(Dan wajib mendengar) iaitu takbiratulihram itu oleh orang yang bersolat itu sendiri, sekiranya pendengarannya baik dan tiada dihalang dengan benda yang mendatang contohnya bunyi bising (seperti seluruh rukun qauli) daripada al-Fatihah, tasyahhud akhir dan bagi salam.

Dalam keterangan selanjutnya, tidak wujud penghalang daripada pendengaran. Jika wujud penghalang, tidak wajib ke atas seorang itu mendengar, tetapi wajib apa yang dijelaskan sebelum itu iaitu dibaca dengan kadar yang boleh didengari.

Berdasarkan mazhab al-Syafie juga, makruh jika seseorang menguatkan suara bacaan sehingga didengari orang sebelah dan mengganggunya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah seseorang itu melakukan kemudaratan dan mengenakan kemudaratan itu kepada orang lain.

Sehubungan itu, setiap umat Islam perlu sentiasa menjaga tahap disiplin ketika menunaikan solat terutama sentiasa mematuhi syarat, rukun dan perkara sunat.

Selain itu, dalam pelaksanaan solat banyak juga terjadi seseorang membuat gerakan besar lebih daripada tiga kali secara berturut-turut yang menyebabkan solatnya terbatal.

Begitu juga ketika solat berjemaah, sebagai makmum kita sudah menetapkan niat dari awal lagi untuk patuh dan mengikuti imam.

Oleh itu, seorang makmum tidak boleh mendahului imam atau terlalu jauh tertinggal iaitu dua rukun fi’li daripada imam.

Sekiranya imam melakukan kesalahan, makmum perlu menegur dengan cara penuh beradab iaitu dengan mengungkapkan kalimah ‘subhanallah’.

 

 

 

 

 

Sumber: Harian Metro