Rasulullah SAW pembawa rahmat sekalian alam

ISLAM merupakan agama yang menjaga manusia daripada semua aspek kehidupan. Islam juga datang untuk membawa kemaslahatan bagi sekalian alam.

Maka tidak timbul isu bahawa Islam merupakan agama yang diturunkan hanya kepada orang-orang Arab ataupun sekumpulan manusia sahaja.

 

Ini kerana, Islam datang untuk membawa rahmat kesejahteraan kepada semua bangsa dan agama. Ini dibuktikan dalam firman Allah dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 107: Ertinya: Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk membawa rahmat bagi sekalian alam.

Definasi rahmat dalam Islam

Perkataan rahmat ini sebenarnya berasal daripada perkataan Arab iaitu (رحمة). Jika kita lihat kamus dewan mengenai perkataan rahmat, ia didefinisikan sebagai belas kasihan, kurnia, bahagia dan hikmah.

Terjemahan rahmat daripada sudut bahasa arab pula tidak jauh bezanya dengan makna dalam bahasa Melayu. Dari sudut istilah pula ia adalah satu sifat yang menghubungkan kebaikan dan kemaslahatan kepada hambaNya.

Ini kerana, sesiapa yang inginkan kebaikan maka ia akan dapatinya dalam agama Islam dan sesiapa yang meninggalkan agama Islam maka ia telah membuangnya.

Islam sebagai rahmat buat sekalian alam telah direalisasikan oleh Rasulullah sendiri dalam kehidupan baginda.

Sesungguhnya sifat Ar-Rahman adalah hak milik Allah dan Maha Pemurahnya Allah itu, maka Allah telah mengurniakan kalimah rahman kepada hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

Firman Allah lagi didalam Surah Al-A’raf ayat 52:Ertinya: Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.

Di dalam hadis Nabi SAW pula, baginda dengan jelas menyatakan bahawa Allah menurunkan rahmat ke bumi seperti mana hadis berikut: Maksudnya: Allah menjadikan rahmat (kasih sayang) seratus bahagian, maka dipeganglah disisiNya sembilan puluh sembilan bahagian dan diturunkanNya satu bahagian ke bumi. Dari yang satu bahagian inilah seluruh makhluk berkasih sayang sesamanya, sehingga seekor kuda mengangkat kakinya kerana takut anaknya terpijak olehnya.

Rasulullah pembawa rahmat

Menurut Ibnu Abbas dalam Tafsir Ibnu Kathir, Allah mengutus Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat buat seluruh manusia, baik mukmin mahupun kafir. Rahmat bagi orang mukmin iaitu Allah memberinya petunjuk dengan sebab diutusnya Rasulullah SAW.

Baginda penyebab dimasukkan orang-orang beriman ke dalam syurga dengan iman dan amal mereka terhadap ajaran Allah.

Sedangkan rahmat bagi orang kafir berupa tidak disegerakannya bencana yang menimpa umat-umat terdahulu yang mengingkari ajaran Allah.

Al-Quran juga menegaskan bahawa rahmat Tuhan meliputi segala perkara.

Al-Quran juga menegaskan bahawa rahmat Tuhan meliputi segala perkara. Firman Allah didalam Surah Al-A’raf ayat ke 156.

Ertinya: Dan rahmat-Ku meliputi segala sesuatu, maka akan aku tetapkan rahmat-Ku untuk orang-orang yang bertaqwa, menunaikan zakat, dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat kami, – (QS Al-A’raf:156).

Ibn Qayyim menyatakan bahawa kasih sayang itu adalah sifat memberikan manfaat kepada orang lain juga sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada manusia serta makhluk alam lain atau menjauhkannya daripada bencana.

Menurut  Muhammad bin Ahmad al-Qurtubi dalam Tafsir al-Qurtubi ketika mengulas Rahmatan Lil alamin memetik kata-kata Said bin Jubair daripada Ibnu Abbas, beliau berkata: Muhammad SAW adalah rahmat bagi seluruh manusia. Bagi yang beriman dan membenarkan ajaran beliau, akan mendapat kebahagiaan. Bagi yang tidak beriman kepada beliau, diselamatkan dari bencana yang menimpa umat terdahulu berupa ditenggelamkan ke dalam bumi atau ditenggelamkan dengan air.

Hal ini diungkapkan sendiri oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang disampaikan oleh Salman yang menyebutkan: Sesungguhnya aku diutuskan adalah menjadi rahmat buat sekalian alam. – [Sunan Abu Daud No 7/54].

Islam sebagai rahmat buat sekalian alam telah direalisasikan oleh Rasulullah sendiri dalam kehidupan baginda. Ini diterjemahkan sendiri oleh baginda Rasulullah SAW melalui komunikasi harian baginda terhadap mereka yang berada disekelilingnya.

Antara contoh-contoh bahawa Rasulullah SAW pembawa rahmat ialah:

Wanita diletakkan dalam kedudukan tertinggi dalam Islam.

1. Rahmat terhadap wanita

Sebelum kedatangan Islam, wanita dan anak-anak perempuan adalah golongan manusia yang tidak bernilai pada sesebuah masyarakat melainkan sebagai tempat melepaskan nafsu lelaki dan berkhidmat kepada lelaki sahaja.

Mereka tidak berhak mendapat harta pusaka dan tidak diberikan peluang mendapat pendidikan. Wanita juga tidak diberikan peluang memilih bakal suaminya, bahkan terpaksa menerima siapa sahaja lelaki yang ditentukan keluarganya.

Dengan kedatangan Islam kedudukan wanita adalah sama taraf dengan lelaki dari segi hak-hak keduniaan seperti harta pusaka dan pemilikan harta.

Jika ada perbezaan sedikit pun seperti dalam hukum pewarisan harta pusaka, ia disebabkan kaum lelaki diwajibkan menanggung dan melindungi wanita yang kehilangan bapa atau suami.

Islam juga memberikan wanita hak untuk memilih pasangan dan berhak meminta difasakhkan jika walinya memaksanya berkahwin dengan seseorang yang tidak disukainya.

Aisyah RA meriwayatkan bahawa seorang wanita dengan dua orang anak perempuan datang kepadanya meminta bantuan makanan.

Beliau tidak memiliki makanan melainkan sebiji kurma, lalu beliau memberikannya kepada wanita itu.

Wanita itu membahagikan kurma itu kepada dua anaknya. Setelah anaknya makan, wanita itu bangun dan beredar pergi. 

Apabila Rasulllah SAW sampai ke rumahnya, Aisyah menceritakan hal itu kepada baginda lalu baginda bersabda: Sesiapa yang menjaga anak-anak perempuan itu dan berbuat ihsan kepada mereka, mereka itu adalah pelindung daripada api neraka. – [HR Bukhari no: 5536].

Mendidik anak-anak menerusi kasih sayang dan ciuman. Allah tidak akan menyayangi sesiapa yang tidak menyayangi manusia lain.

2. Rahmat terhadap kanak-kanak

Rasulullah SAW mengajar kita berakhlak mulia walau dengan sesiapapun. Antara akhlak mulia ialah mengucapkan salam apabila bertemu dengan orang Islam walaupun kepada kanak-kanak kecil sebagai tanda sifat rendah hati dan menghormati serta menyayangi kanak-kanak kecil.

Daripada Aisyah RA dia berkata: Sekelompok orang Badwi datang menemui Rasulullah SAW, mereka berkata; Apakah kalian mencium anak-anak kalian? Para sahabat menjawab, Ya. Maka orang-orang Arab Badwi itu berkata; Demi Allah, kami tidak pernah melakukannya.

Maka Nabi SAW bersabda: Aku memiliki apa yang telah Allah hilangkan dari sikap kasih sayang kalian. – [HR Sunan Ibnu Majah No: 3655].

Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengasihi dan menyayangi anak mereka. Mendidik anak-anak menerusi kasih sayang dan ciuman. Allah tidak akan menyayangi sesiapa yang tidak menyayangi manusia lain.

Sabda Nabi SAW: Daripada Jarir bin Abdullah berkata; Rasulullah SAW bersabda: Allah tidak akan menyayangi sesiapa yang tidak menyayangi manusia. – [HR Sahih Bukhari  No: 6828].

Sebagai anak kita perlu menghormati ibu bapa serta orang yang lebih tua.

3. Rahmat terhadap orang tua

Sabda baginda Rasulullah SAW: Daripada Ibnu Abbas RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: Bukanlah termasuk golongan kami, mereka yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami dan tidak pula menghormati orang tua kami, serta tidak menyuruh kepada yang makruf (kebaikan) dan melarang daripada yang munkar (keburukan) – [Sunan Tirmizi No: 1921].

Orang yang tidak mengasihi anak-anak kecil dan menghormati orang tua, mereka tidak mengikuti sunah Rasulullah SAW dan adab seorang Muslim. Menghormati orang tua atau orang yang lebih tua daripada kita termasuk sunnah Nabi.

Kasih sayang bukan sahaja ditunjukkan sesama manusia tetapi juga kepada haiwan seperti kucing. 

4. Rahmat terhadap haiwan

Sabda Rasulullah SAW: Daripada Ibnu Umar dari Nabi SAW baginda bersabda: Seorang wanita memasuki neraka kerana dia mengikat seekor kucing, tidak memberi makan kepadanya dan tidak melepaskannya mencari makan dari sisa buangan. – [HR Sahih Bukhari No: 3318].

Balasan syurga juga berkait rapat antara amalan peribadi seperti solat, puasa, zakat, baca al-Quran dan lain-lain.

Seseorang yang menjaga amalan juga boleh masuk ke dalam neraka kerana tidak menjaga amal baik sesama makhluk lain seperti binatang dengan menyeksa mereka tanpa memberi makan minum kepada binatang peliharaan ataupun memukul tanpa belas kasihan.

Ini adalah antara kasih sayang Nabi SAW yang perlu kita contohi dan ikuti supaya negara kita sentiasa aman dan damai. Kami rindu kamu ya Rasulullah.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi almaghribi) ialah Pensyarah Kanan. Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim). Beliau juga merangkap Panel Rujuk Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia, YADIM.

 

 

 

 

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber:mstar