Syarikat antarabangsa tunduk dengan pendirian Yuna

PENYANYI Yuna yang kini berjaya menempa nama di Amerika Syarikat, menerusi Instagram berkongsi mengenai pengalamannya bergelar penyanyi berhijab.

Menurut Yuna, dia pernah diminta untuk membuka hijab ketika hampir menandatangani kontrak dengan satu label muzik di negara itu

“Pernah saya diminta oleh beberapa wakil dari label untuk menanggalkan hijab sekiranya ingin menandatangani kontrak dengan mereka. Namun, saya tetap dengan pendirian,” tulisnya.

Kongsi Yuna lagi, ada juga beberapa pihak yang inginkannya menayangkan beberapa bahagian tubuh pada sesi fotografi.

“Ada juga pihak yang meminta saya untuk menunjukkan sebahagian bahu dan lutut ketika sesi fotografi dijalankan.

“Ketika mula-mula tampil sebagai penyanyi dan komposer berhijab, ada juga beberapa majalah fesyen yang tak mahu saya menjadi penghias muka depan,” katanya.

Namun begitu, Yuna akui dia sangat bersyukur kerana situasi dilaluinya kini sudah berubah sebagai seorang wanita berhijab.

“Alhamdulilah, semuanya sudah berubah. Malah, saya gembira melihat ramai teman saya yang berhijab kini diterima dengan baik dari segi penampilan mereka.

“Mereka juga dapat melakukan apa saja yang diinginkan dengan bebas dan pada masa terus kekalkan identiti mereka dengan berhijab,” katanya.

Pada perkongsian di IG itu, Yuna juga berkongsi fotonya menjadi penghias muka depan satu majalah di Amerika,In Style  beberapa tahun lepas.

 

 

 

Sumber:HM