“Saya sudah malas…”- Datuk Aaron Aziz

Dua kali menjulang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), Datuk Aaron Aziz mengaku sudah puas mengecap nikmat dunia glamor yang diceburinya sejak 20 tahun lalu.

Tampak lebih berisi, Aaron mengaku tidak mahu lagi soal pandangan atau persepsi orang lain menjadi pengukur dalam menentukan haluan hidup.

“Saya mengaku sudah tidak lagi keterlaluan dalam menjaga penampilan. Saya sudah malas mahu menjaga kelangsingan tubuh.

“Untuk apa? Saya tidak mahu mengizinkan pandangan orang lain sebagai suatu kriteria dalam haluan hidup saya. Dalam erti kata lain, saya tidak mahu menjadi tumpuan lagi.

“Bagi saya, tidak mengapa badan berisi asalkan sihat dan hati bahagia. Hendak gemuk atau bina badan, biarlah saya selesa dengan cara tersendiri,” katanya kepada BH Online.

Aaron mengaku berat badannya juga semakin naik.
“Diakui saya mengamalkan diet dan menjaga pemakanan. Tetapi saya tidak boleh lagi melakukan senaman.

“Dahulu, saya ke gimnasium dan melakukan senaman intensif. Kini, saya terpaksa melupakannya akibat penyaakit saraf yang dialami sejak lima tahun lalu.

“Berat badan naik mendadak selepas saya mengambil ubat-ubatan untuk mengurangkan kes@kitan. Bagaimanapun, risikonya, berat badan akan bertambah.

“Saya tidak kisah asalkan tidak sakit,” katanya.

Namun, Aaron berkata, dia tidak menghadapi masalah untuk mengurangkan berat badan.

“Saya boleh melakukannya dengan menjaga pemakanan dan melakukan senaman secara intensif.

“Bagaimanapun, dengan penyaakit saraf dialami ini, tersalah angkat guni beras pun akan memberi kesan dan kesakitan selama empat hingga lima bulan.

“Bukan itu sahaja, jika saya duduk lama atau bermain video selama dua atau tiga jam, sakit akan menerpa. Kadang kala saya mandi air panas pun tidak terasa.

“Alhamdulillah, saya bersyukur penyakit saraf agak berkurangan, sejak akhir-akhir ini. Sesekali masih ada kebas-kebas, tetapi dalam keadaan terkawal. Saya kena banyak berjaga-jaga supaya sakit tidak menyerang,” katanya.

Mengenai tawaran berlakon, Aaron berkata, dia banyak menolak ‘job’ sejak akhir-akhir ini.

“Bukan soal tidak laku atau enggan berlakon, tetapi waktunya tidak kena. Kali terakhir drama panjang lakonan saya adalah Jodoh-Jodoh Annisa, iaitu sebanyak 100 episod yang disiarkan tahun ini.

“Ketika ini pun banyak lagi tawaran lakonan yang masih dipertimbangkan,” katanya.

Aaron berkata, dia lebih banyak memberi tumpuan kepada dunia perniagaan dan mahu memperkukuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebajikan Journey To Insyirah.

Dia mahu mengejar saham untuk akhirat selepas 20 tahun mengabadikan diri dalam industri seni.

“Populariti bukan lagi keutamaan dan perkara yang dikejar. Saya sudah rasa semuanya dalam tempoh 20 tahun ini.

“Allah kurniakan saya nikmat hidup, kini tiba masanya saya mengejar saham akhirat,” katanya.

 

 

 

Sumber:BH