“Saya masih aktif cuma tiada pendedahan di kaca televisyen sahaja,” kongsi penyanyi sensasi lewat 90-an, Leina Hangat apabila ditanya mengenai perkembangan seninya ketika ini.
Cuma baginya, skala aktif itu kian berkurangan kerana perlu memberikan komitmen lebih terhadap keluarga.
“Alhamdulillah rezeki Allah masih lagi ada lagi. Selepas tamat kontrak dengan sebuah label muzik tidak lama dulu, saya bergerak sendiri,” katanya kepada MH.
Lebih 20 tahun bergelumang dengan seni, Leina yang popular dengan lagu Ceria Dalam Gundah ini mengakui dia kini sudah tidak lagi ambil pusing andai apa yang kurang mengenai atau sesuka hati memberikan gelaran lain terhadap nama komersialnya itu.
“Pada saya tak kisah orang nak panggil dengan nama Leina Hangat ke… Sekarang ni ada yang panggil dengan nama ‘Leina Suam-Suam Kuku’, Leina Hangit’ ada. Saya terima dengan seadanya.
“Memadai dengan saya nama sebenar yang diberikan Allaharham bapa, Norazlina Abdul Rahman yang bermakna Cahaya Gembira. Lina itu bermaksud ‘gembira’ dan Hangat itu ibaratnya sentiasa ‘hangat bergembira di Hari Raya’.
“Jadi saya tak kisah orang nak panggil dengan nama apa pun, asalkan yang eloklah. Ia sekadar nama. Cuma nama yang baik untuk saya sebagaimana yang tertulis di kad pengenalan itu yang lebih penting,” terangnya lagi.
Terdahulu, penyanyi dan pelakon ini ditemui pada majlis Pelancaran Busana Munawwareen 2020 di Kuala Lumpur, pada Khamis.
Ditanya mengenai sejauh mana keunikan nama komersialnya itu sendiri sehingga ia kekal ‘melekat’ sampai sekarang, Leina awalnya akui agak malu untuk memperkenalkan diri.
“Ada juga yang tanya Leina mana ya? Bila saya nak cakap nama Leina Hangat itu, demi Allah saya malu, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang.
“Akan tetapi disebabkan nama itulah, saya teruskan apa seadanya. Keliru juga nak perkenalkan diri. Cuma pada saya tidak salah pun,” kata Leina yang masih lagi ceria dan suka bergurau.
Terdahulu, penyanyi yang pernah menghasilkan album Tamil ini mulai mengenakan hijab kira-kira 10 tahun lalu.
Kali terakhir dirinya mengeluarkan naskhah seni adalah menerusi sebuah album kompilasi pada awal 2000.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK
Sumber: MH