“Saya perlu lunaskan tanggungjawab sebagai anak sebelum jaga anak orang” -Syafiq Kyle

PELAKON kacak Syafiq Kyle menjelaskan buat masa ini tiada sebarang majlis istimewa membabitkan dia dan teman wanitanya, pelakon Mimi Lana.

Bagaimanapun Syafiq memberitahu dia sebenarnya dalam proses mempersiapkan dirinya untuk bergelar suami.

“Setiap lelaki pasti mempunyai keinginan untuk mendirikan rumah tangga dan saya pun ada memasang impian ke arah itu.

“Malah, keluarga saya pun selalu berpesan kalau berkawan, jika tak ada duit nak berkahwin kena pasang niat dulu. Tapi itulah, sampai sekarang tak kahwin-kahwin lagi.

“Mungkin juga sebab jadual kerjaya kami berdua yang padat. Saya dan pihak wanita (Mimi) belum mempunyai masa yang sesuai untuk berbincang perkara ini dan kami menghormati waktu masing-masing.

“Malah, keluarga pun menyerahkan kepada kami untuk memilih memandangkan kerjaya dalam bidang ini (lakonan) pun tidak menentu,” katanya ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen Summeraya 2020 Rico Rinaldi di GMBB Kuala Lumpur , semalam.

Bagi Syafiq dia mahu mempersiapkan segala untuk keluarganya terlebih dahulu sebelum mengakhiri zaman bujangnya. 

“Saya perlu melunaskan tanggungjawab sebagai seorang anak sebelum mahu menjaga anak orang pula. Itu lebih penting sekarang daripada fikir soal bila nak kahwin.

“Apapun, saya kini perlahan-lahan mempersiapkan diri untuk menjadi ketua keluarga dan suami pada masa akan datang,” katanya.

Bagus Syafiq ! Semoga niat suci Syafiq untuk menyenangkan keluarga dipermudahkan.  

 

 

 

Sumber:HM