“Jangan disebabkan ini, saya dan Amy putus kawan”

Penyanyi rock, Datuk Awie menafikan yang dia akan menggantikan tempat Amy sebagai vokalis Search, sebaliknya dia hanya membantu kumpulan legenda itu untuk terus bergerak.

Awie dan Search kini bekerjasama menerusi Konsert Cinta Buatan Malaysia Search dan Awie yang bakal berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam pada 12 Disember depan.

“Saya bukan pengganti Amy. Saya masih setia bersama Wings, apatah lagi saya menubuhkan Wings.

“Kerjasama ini hanyalah bagi membantu Search yang memerlukan vokalis. Tawaran mengadakan konsert ini untuk Search dan Amy. Bagaimanapun, Amy tidak mahu melakukannya, jadi Search terkapai-kapai. Mereka cari makan, jadi
terlintas nama saya ketika mereka mencari jalan.

“Mereka panggil saya dan ini juga dilihat permulaan baik untuk Search kembali aktif. Saya fikir, bolehlah saya tolong.

Saya hanya sertai Search sebagai kawan, bukannya menggantikan tempat Amy.

“Saya tak pernah anggap diri mahu menggantikan Amy. Ini adalah projek Search bersama Awie, mungkin mereka akan bekerjasama dengan penyanyi lain pula selepas ini,” katanya.

Mengulas kemungkinan menyertai Search, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman berkata, beliau akan terus setia bersama Wings.

“Jika mereka minta saya menggantikan Amy, mungkin tidak. Sebab, saya masih ada Wings dan tetap setia bersama mereka,” katanya lagi.

Terdahulu, Amy mengumumkan pengunduran daripada Search pada 28 Mac lalu.

Ditanya keputusan bekerjasama dengan Search menjejaskan hubungannya dengan Amy, Awie berkata, hubungan mereka tetap baik.

“Jangan disebabkan projek ini, saya dan Amy putus kawan. Untuk apa menjadi insan seni, jika hanya fokus pada satu projek sahaja. Banyak lagi projek lain boleh dibuat.

“Ini adalah projek yang mendatangkan rezeki pada rakan saya. Saya juga tak terikat dengan projek ini sahaja, mungkin ada projek bersama penyanyi lain,” katanya.

Awie bersama anggota Search, Nasir selaku pemain bass, Kid (gitar) dan Din (gitar) bakal bersatu dalam Konsert Cinta Buatan Malaysia Search dan Awie di Stadium Melawati, Shah Alam pada 12 Disember depan.

Konsert yang pada awalnya diberi nama Konsert Apologia itu sepatutnya diadakan pada 28 Mac lalu di The Bee, Publika tetapi ditunda ekoran p4ndemik C0VID-19.

“Saya adalah pembeli kaset ketika pengeluaran album Cinta Buatan Malaysia. Saya tahu lagu yang menghidupkan ny4wa Search, jadi saya nak menyanyikan kembali lagu seperti Kejora, Cinta Sepi, Isi dan Kulit serta Cinta Buatan Malaysia.

“Ia adalah lagu yang orang dengar hingga hari ini. Rugi jika tidak menyanyikan lagu ini. Seperti Din dan Kid juga menyuarakan keinginan untuk menyampaikan lagu berkenaan,” katanya.

Selain itu, Awie bakal mempersembahkan lebih 15 lagu-lagu popular Search seperti Kejora, Cinta Sepi, Isi dan Kulit,Mentari Merah Di Ufuk Timur, Nur Nilam Sari dan banyak lagi.

Sumber:BH