Kerana tidak mahu keting-galan dalam pelajaran, tiga beradik daripada Kampung Gana dekat sini, sanggup mendaki bukit setiap hari bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR).
Joshua Emmanuel Jeffery, 12 bersama adik-adiknya, Jordon Emmanuel, 9 dan Joshean Emmanuel Jeffery, 8, mendaki bukit yang terletak di belakang rumah nenek mereka sekitar 8.30 pagi.
Tiga beradik itu perlu berjalan kaki selama 10 minit untuk sampai ke lokasi adanya capaian internet di bukit berkenaan.
Ketika ditemui, Joshua Emmanual berkata, walaupun terpaksa mendaki bukit untuk belajar tetapi dia tetap teruja dan seronok dengan pengalaman itu.
“Adik-adik pun seronok belajar di atas bukit. Ibu dan ayah akan menemani kami setiap kali perlu belajar secara dalam talian di atas bukit.
“Saya dan adik-adik akan berada di atas bukit selama hampir tiga jam untuk mengikuti kelas dalam talian bersama guru atau membuat latihan,” kata murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (C) Anglo Chinese itu.
Anak sulung dari tiga beradik itu, berkata usaha bapanya yang mewujudkan tempat belajar di atas bukit itu sedikit sebanyak mengubati rasa rindu belajar di dalam kelas dengan guru serta rakan-rakan.
Sementara itu, bapa mereka, Jeffery Joseph, 41, berkata dia mula terfikir mewujudkan lokasi pembelajaran untuk anak-anaknya itu pada Jumaat minggu lalu menjelang pembukaan sesi persekolahan 2021, semalam.
“Kami sebenarnya menetap di Kota Kinabalu tetapi pulang ke kampung ini sejak Disember tahun lalu kerana anak-anak lebih selesa berada di sini.
“Kampung ini memang mempunyai masa-lah telekomunikasi sejak dahulu. Hanya lokasi tertentu dalam kampung ini mempunyai capaian sekiranya mahu membuat panggilan telefon atau melayari internet.
“Apabila anak perlu menghadiri pembelajaran secara PdPR, saya terus memikirkan penyelesaian agar tidak perlu berjalan jauh setiap kali mereka mahu belajar.
“Saya membuat tinjauan di sekitar atas bukit yang ada kebun getah di belakang rumah dan mendapati rangkaian telefon mahupun internet boleh diperoleh di lokasi ini,” katanya yang juga anak jati Kampung Gana terbabit.
Jeffery yang juga Guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan, Penampang berkenaan memaklumkan dia membersihkan sekitar kawasan terbabit, selain membina meja serta kerusi dari buluh untuk keselesaan anak-anaknya sewaktu belajar secara PdPR di tempat itu.
Sumber:BH