Bakatnya digilap melalui Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019, dan sejak itu, Syafi Tee berpegang pada restu ayahnya dalam mengharungi cabaran dunia seni.
Anak kepada pendakwah bebas dan ahli akademik, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah ini beruntung kerana figura terkenal yang dipanggilnya Papa itu, faham selok-belok dunia seni.
“Papa tahu dunia penggambaran dan kerja seni. Papa juga selalu berada di depan kamera dan bekerja bersama kru.
“Papa sudah ‘masak’ dengan dunia ini. Papa beri restu cuma saya kena menjaga nama baiknya dan keluarga,” katanya lagi.
Bagi Syafi segala nasihat keluarga amat penting dan dia berharap dia akan terus istiqamah dengan prinsip yang diberikan oleh bapanya iaitu soal menjaga batas bukan muhrim ketika berlakon.
“Saya letak piawaian sendiri iaitu tiada adegan bersentuhan. Kalau ada sekalipun, mesti berlapik.
“Papa selalu ingatkan perkara itu. Pulang ke rumah, Papa pasti tegur dan nasihat supaya saya tidak buat perkara bukan-bukan di set penggambaran,” katanya.
Syafi berkata, jika tidak selesa dengan mana-mana adegan, dia berbincang dengan pengarah untuk mencari alternatif lain termasuk sudut kamera ketika penggambaran.
Tambah Syafi, dia tidak pernah menyembunyikan status diri sebagai anak pendak-wah terkenal sejak mula terjun ke dalam dunia seni.
“Dalam kalangan kru dan pelakon, mereka tahu saya anak siapa. Saat mula perkenalkan diri, mereka sudah dapat mengagak,” katanya.
Mengimbau perjalanan seninya, Syafi atau nama penuh, Mohd Syafi berkata, pada mulanya dia mahu mencari karier yang mempunyai waktu kerja anjal.
“Ketika itu, saya dalam proses menamatkan pengajian dalam bidang teknologi pembuatan di sebuah institusi pengajian tinggi.
“Jadi, saya cuba isi masa lapang dengan mencari kerja. Tidak terlintas menjadi pelakon dan penyertaan dalam DFKL 2019 membuka ruang saya,” katanya.
“Cuma sejak pan-demik COVID-19 menular, kerja lakonan tertunda dan bersambung apabila keadaan terkawal.
“Ketika fasa kedua Perintah Kawa-lan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya sedang menjalani penggambaran drama Dear Cinta,” katanya yang sempat menyertai misi bantuan banjir bersama Youth Care di Segamat, Johor, baru-baru ini.
Dua tahun bergelar pelakon, Syafi telah membintangi beberapa drama terbitan TV3 seperti Ironi Kasih, Tuan Danial, So Kampung dan terbaru, Hadiah Dari Tuhan.
Sumber:BH