Malu nak bersanding, majlis “Raikan Cinta Yusuf dan Nur” tetap meriah tanpa pelamin

Diijabkabulkan pada 19 September tahun lalu, pasangan popular, penyanyi Zizi Kirana dan pelakon Yusuf Bahrin sekali lagi meraikan hari bersejarah mereka di sebuah majlis yang diadakan di Grand Kaca Wedding Hall, Durian Tunggal, Melaka, semalam.

Majlis yang dinamakan “Raikan Cinta Yusuf & Nur” itu hanya lebih kepada majlis kesyukuran bagi meraikan keluarga dan rakan terdekat.

“Sebenarnya, kami lebih pada nak buat majlis kesyukuran dan santai saja. Jadi, kami mahu raikan dengan kaum keluarga dan rakan terdekat. Lagi pun, kami malu bersanding.

“Dari awal lagi kami memang nak majlis ini santai, tetamu datang makan, berjumpa, bergambar dan dengar persembahan qasidah.

“Semalam itu ada keluarga saya datang dari Sabah, keluarga Yusuf, kawan-kawan, anak tahfiz dan beberapa tetamu kenamaan (VIP). Memang itu saja jemputan kami. Persembahan pun daripada kumpulan qasidah Ar-Rayyan saja. Pentas yang ada memang untuk qasidah. Selesai majlis, baru kami bergambar dengan keluarga di pentas,” katanya lagi kepada Harian Metro.

Zizi yang baharu melancarkan single Pijak berkata, tetamu yang hadir semalam turut bertanya kenapa mereka tidak bersanding.

“Semalam, masuk dewan kami terus duduk di meja makan beradab. Orang ingat terus ke pentas, tapi tak ada. Memang kami nak macam itu saja. Selalu dah naik pentas. Kali ini, nak lebih bermesra dengan tetamu kami.

“Sampai kumpulan qasidah pun terkejut dan tanya kami tak sanding ke?. Sebab pentas memang untuk mereka saja dan saya menyanyi pun di tepi saja,” katanya.

Sementara itu, Yusuf atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Bahrin berkata, dia dan Zizi sudah memasang niat lebih kepada majlis kesyukuran.

“Kami buat majlis tu bukan acara resepsi untuk persandingan kami. Saya dan Zizi niat nak berkumpul dengan keluarga dan sahabat handai saja.

“Lebih kepada nak meraikan tetamu yang sudi hadir. Selepas semua sudah selesai baru kami naik pentas untuk bergambar dengan keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Pada majlis itu, pasangan sejoli berkenaan mengenakan persalinan rekaan pereka Shanell Harun dan ditatarias oleh Sharhim Khan.

Sumber:HM