Amalan tazkirah Johan lembutkan hati pembantu rumah masuk Islam

Patutlah amalan menyampaikan tazkirah kepada ahli keluarga terutamanya setiap kali selepas solat sangat digalakkan dalam Islam.

Kongsi pelakon dan penyampai radio, Johan, berkat sering mendengar tazkirah disampaikan, akhirnya ilmu yang dipelajari dalam diam itu berjaya membuka hati pembantu rumahnya untuk memeluk agama Islam.

“Pembantu rumah seorang warga Indonesia dan beragama Kristian. Dia sudah bekerja dengan keluarga saya selama tiga tahun.

“Memang menjadi amalan saya menyampaikan tazkirah setiap kali selesai solat berjemaah dengan membicarakan pelbagai topik.

“Setiap kali sesi perkongsian ilmu berlangsung, dia akan duduk dan mendengar topik dibincangkan. Dia hanya mendengar tanpa bertanyakan apa-apa.

“Hanya selepas balik ke negaranya barulah saya dapat tahu pembantu rumah ini sudah memeluk agama Islam,” katanya lagi.

Lebih membuatkan pelakon filem Hantu Kak Limah Balik Rumah ini terharu selepas mendapati usaha dilakukan wanita berkenaan untuk mendalami agama Islam.

“Saya terjumpa buku nota miliknya yang tertera surah al-Fatihah, namun, cara menyebutnya ditulis dengan huruf rumi, sekali gus menggambarkan betapa bersungguhnya dia untuk mempelajari agama Islam,” cerita pelawak yang dicungkil bakatnya menerusi sebuah program realiti ini.

Selepas bergelar mualaf,suami kepada pelakon Ozlynn Wati ini memaklumkan pembantu rumahnya itu terus mendapat bimbingan daripadanya, namun, cara berbeza.

“Kini, pembantu rumah sudah kembali bekerja dengan saya. Jika sebelum ini hanya mendengar saya menyampaikan tazkirah, kali ini, dia pula bertanya jika ada sesuatu tidak difahami,” ungkap Johan.

Tazkirah menurut kamus dewan Bahasa ialah ceramah ringkas mengenai agama Islam sebagai peringatan juga untuk sebagai renungan dan pedoman.

Sumber: BH