Lisa Surihani pilih untuk diam

Bagi pelakon popular Datin Lisa Surihani, setiap manusia yang istiqamah berubah mempunyai kisah perjalanan masing-masing.

Dan dirinya juga tidak terkecuali dari mempunyai kisah perjalanannya namun memilih untuk disimpan bagi diri sendiri.

Maka seboleh mungkin pemegang tiga trofi Festival Filem Malaysia ini enggan terlalu bercerita dan berkongsi secara umum tentang perjalanannya yang berubah ke arah yang lebih baik.

“Bukan tidak mahu berkongsi, tetapi setiap orang ada cerita dan perjalanan sendiri. Apatah lagi, jika berkait rapat dengan aspek kerohanian.

“Mungkin ada sedikit rasa dalam diri ini, tetapi bagi saya, ia tidak perlu diceritakan,” katanya.

Isteri kepada pengarah dan pelakon tersohor, Datuk Yusry Abdul Halim itu ditemui ketika tayangan perdana filem Juang yang menampilkan lima pengarah hebat, Aziz M Osman, Osman Ali, Khabir Bhatia, Matt Lai dan suaminya.

Juang yang mengangkat semangat serta pengorbanan petugas barisan hadapan dalam menempuh fasa awal pandemik membariskan pelakon handalan seperti Zizan Razak, Zul Ariffin dan Janna Nick.

Sementara itu, menjawab isu segelintir netizen yang mendakwa majlis ilmu dihadiri ramai selebriti sebagai acara menunjuk-nunjuk, Lisa berkata, dia menerima jemputan untuk berkongsi dan menambah ilmu agama.

“Setakat ini, saya belum pernah nampak k0men sebegitu. Tetapi, menjawab persoalan itu, saya dan rakan selebriti lain dijemput untuk berkenalan dan berkongsi ilmu.

“Itu adalah majlis pengisian untuk kita belajar ilmu agama. Setiap bulan, kita akan bertukar-tukar tuan rumah. Alhamdulillah, ia majlis ilmu yang baik,” katanya lagi.

 

 

 

 

 

Sumber:UM