Lama ‘sorok’ identiti, Marcell akhirnya mengaku telah sedekad bergelar mualaf

Dia pernah dihimpit kontr0versi gara-gara sikapnya yang tidak gemar berkongsi secara terbuka berhubung agama dianuti walaupun hakikatnya dia sudah memeluk agama Islam sejak 10 tahun lalu.

Bagaimanapun penyanyi yang meledak menerusi lagu Hanya Memuji dan Peri Cintaku, Marcell Siahaan, 45, berkata, dia mempunyai alasan yang kukuh untuk tidak berkongsi soal kepercayaan dan pegangan agamanya.

Ini kerana, katanya, dia tidak mahu mencetuskan perbalahan jika pandangannya terhadap soal kerohanian tidak selari dengan pihak yang bertanya.

“Soal spiritual bukankah sesuatu yang saya akan kongsi kepada khalayak, apatah lagi saya sendiri banyak belajar mengenai agama, kepercayaan dan kebaikan daripada setiap kepercayaan.

“Jika ia dibincangkan secara terbuka, tidak semua boleh menerima apa yang akan saya nyatakan. Ini kerana bagi mereka yang bertanya sudah tentu mempunyai jawapan dikehendaki dalam fikiran.

“Justeru, apabila jawapan tidak seperti yang dimahukan, mereka akan marah. Kenapa perlu nak marah, sedangkan yang memulakan pertanyaan adalah mereka,” katanya seperti dipetik.

Mengimbau kejadian yang berlaku, pemilik nama sebenar Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan itu berkata, dia agak lucu apabila ada yang meluahkan rasa teruja kerana beranggapan dirinya baru sahaja bergelar mualaf.

“Saya sudah memeluk Islam sejak 2012. Malah, puasa pertama saya juga pada tahun sama. Perjalanan spiritual saya hanyalah bersifat peribadi dan disimpan untuk diri sendiri.

“Hanya orang tertentu sahaja yang tahu dan saya percaya ramai yang sudah tahu,” ungkapnya.

Sebelum ini, Marcell mengakui pernah berfikiran agnostik, iaitu Tuhan wujud, tetapi tidak mempercayai ajaran agama.

Dilahirkan dalam keluarga berketurunan Batak yang kental dengan ajaran Kristian, namun Marcell memeluk agama Buddha selepas berkahwin dengan penyanyi dan komposer, Dewi Lestari pada 2003. Mereka berpisah lima tahun kemudian.

Kemudiannya, Marcell berkahwin dengan bekas finalis Miss Singapore Universe 2001, Rima Melati pada 2009 dan memeluk agama Islam.

Berkongsi kehidupannya, penyanyi suara romantis itu berkata, dia sangat bahagia di sisi isteri bersama tiga cahaya mata yang semakin membesar.

Sebagai bapa, Marcell berkata, bukanlah satu tugas mudah untuk membesarkan anak-anak pada zaman yang penuh mencabar.

Justeru, katanya, dia sering menitipkan pesanan dan memberikan kata-kata motivasi agar mereka faham erti tanggungjawab dan prinsip.

“Anak-anak sudah ada yang memasuki fasa ‘puberti’ dan saya tidak mahu ada masalah komunikasi mengganggu perhubungan kami.

“Sepanjang 45 tahun saya hidup, banyak perkara tidak saya banggakan. Saya berharap anak-anak lelaki saya akan terus belajar dan mempunyai semangat spiritual kuat.

“Apa yang saya ingin apabila saya sudah meniggal, anak-anak ditanya siapa bapanya, mereka tidak malu menyebut nama saya.

“Tak mahu mereka akan tukar topik apabila diaju soalan ini. Saya boleh bangkit daripada kubur jika ia berlaku,” ujarnya bergurau.

Sumber:BH