“Apa sahaja perkembangan akan diumumkan kepada semua”- Meerqeen

Biarpun hanya meraih tempat ketiga dalam pertandingan Hero Remaja 2019/2020, tidak dapat dinafikan nama Meerqeen lebih menyerlah dari pemenang tempat pertama dan kedua.

Mula diberikan watak berat sebagai Haqeem dalam drama Angkara Cinta, nama Meerqeen terus melonjak melalui penampilan dalam drama rantaian, Melur Untuk Firdaus, bersama aktres Anna Jobling sehingga berjaya menarik peminat dari tanah seberang.

Biarpun pembabitannya dalam bidang seni masih dianggap ‘hijau’, rezeki dan tuah terus berpihak kepada aktor berusia 21 tahun ini apabila diberi kepercayaan menjayakan projek produksi di Indonesia.

Meerqeen yang baru pulang dari Jakarta, teruja berkongsi pengalaman menjayakan projek drama web untuk Bank Rakyat Indonesia berjudul Modus Operandi.

“Memang ia menjadi pengalaman menarik dan tidak dapat dilupakan. Saya gembira kerana kerja keras selama ini tanpa disangka, membuka mata banyak pihak.

“Ini termasuk syarikat produksi luar negara yang mula menyedari kehadiran dan percaya bakat saya,” katanya.

Tambah Meerqeen, projek drama web itu bukan sahaja membuka langkah pertama ke Indonesia, malah, memberi pengalaman baharu untuk terus meneroka peluang kerjasama dengan syarikat produksi lain di republik itu.

“Sebelum ini, saya ke sana untuk bertemu dengan peminat dan memenuhi pelbagai undangan rancangan televisyen (TV).

“Rentetan daripada kunjungan pertama itu, lebih banyak rezeki yang mula terbuka untuk saya mencuba.

“Sudah pasti, sebagai pelakon baharu, saya gembira dengan tawaran yang datang. Mereka nampak sesuatu dalam diri saya. Ini adalah penghormatan yang besar, terutama apabila dapat bekerjasama dengan Bank Rakyat Indonesia,” katanya.

Modus Operandi yang menjalani penggambaran selama seminggu di Jakarta turut dibintangi Krito Immanuel, Yusuf Mahardika, Diandra Agatha dan Maudy Effrosina.

Meerqeen yang diberi watak teraju utama dalam drama berkenaan, gembira dapat bekerjasama pengarah berpengalaman, Makbul Mubarak.

“Memang saya teruja. Pada masa sama, gemuruh untuk bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman.

“Ini adalah produksi pertama saya di Indonesia. Sedikit sebanyak, ada perbezaan ketara, terutama dalam cara bekerja.

“Tetapi saya gembira kerana mereka banyak membantu, terutama ketika proses praproduksi.

 

“Kami terbabit dalam sesi latihan bagi melicinkan proses seterusnya. Ini memberi pengalaman berharga buat saya,” katanya.

Modus Operandi mula ditayangkan melalui saluran YouTube Bank Rakyat Indonesia sejak semalam.

Namun, anak muda ini masih memikirkan tawaran diterima.

Pemilik nama sebenar Muhammad Shameer Shauqeen ini juga tertarik dengan tawaran sebuah syarikat produksi yang berminat menggunakan khidmatnya sebagai pengacara untuk program TV.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan beberapa tawaran diterima. Kalau kena dengan masa dan jadual, pasti saya akan penuhi.

“Apa sahaja perkembangan akan diumumkan kepada semua.

“Terima kasih kepada semua pihak, terutama peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seni saya.

“Tanpa sokongan dan doa semua, tidak mungkin saya mampu melangkah sejauh ini.

“Kepercayaan yang diberi membakar semangat saya untuk terus berusaha keras dan membuktikan kehadiran saya dalam bidang seni bukan main-main.

“Saya mahu serius menjadi insan seni yang disegani,” katanya.

 

 

 

Sumber:BH