Demi kasih Mamat pada cucu

Dengan ikatan perkahwinan terlerai 13 tahun lalu, Mamat Exists, 45, akur harus ‘terpisah’ juga dengan tiga cahaya matanya kerana mereka di bawah penjagaan sepenuhnya bekas isteri ketika itu.

Namun, kasih sayang bapa terhadap anak tidak pernah putus dan hubungan baik antara mereka terus terjalin hingga kini meskipun masing-masing sudah besar dan salah seorangnya mempunyai keluarga sendiri.

Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin berkata, biarpun tidak selalu dapat berjumpa anak-anaknya, mereka sering berhubung untuk bertanya khabar dan melepas rindu.

Menurut penyanyi lagu “Untukmu Ibu” ini, hubungannya dengan anak-anak tetap baik walaupun jarang bertemu kerana anak-anaknya itu menetap di Kuala Lumpur, manakala dia tinggal di Johor.

“Tapi, walaupun terpisah jarak tempat tinggal kami saling menghubungi untuk bertanya khabar dan rindu. Mereka pun semua sudah besar dan syukur Alhamdulillah juga, saya ada cucu sekarang,” katanya.

Mengulas status datuk itu, Mamat berkata, ia adalah rezeki buatnya apabila sudah mempunyai cucu pada pertengahan usia 40-an yang baginya nikmat daripada Allah dan perlu disyukuri.

Mamat mendirikan rumah tangga dengan Marshila Mustapa Kamal pada 2001, namun sah bercerai talak dua pada 24 Februari 2010. Mereka dikurniakan tiga anak iaitu Aleeya Mysara, Mohd Eiki dan Dylea Mysara.

Bagaimanapun, Mohd Eiki sudah mendirikan rumah tangga ketika berusia 22 tahun dan pada 13 November tahun lalu, Mamat dikurniakan seorang cucu perempuan yang kini berusia 10 bulan.

Mamat yang hadir pada sesi sembang santai sebuah syarikat di ibu negara baru-baru ini.

Ditanya mengenai single baharu, Mamat berkata, dia ada keinginan itu, namun perlu mencari lagu sesuai dengan vokalnya dan terbuka bekerjasama dengan mana-mana komposer berminat.

“Sebagai penyanyi, sudah semestinya saya ada keinginan tampil dengan single baharu. Tapi, kenalah cari lagu yang sesuai dengan vokal saya sekarang kerana usia pun sudah meningkat.

“Apapun, saya percaya semua ini bergantung pada rezeki juga. Cuma, saya tidak bersikap memilih komposer untuk bekerjasama sekiranya lagu yang dicipta itu memang bersesuaian untuk vokal saya,” katanya.

Mamat yang masih aktif menyanyi berkata, dia turut teruja untuk menjayakan Konsert Exists X Orkestra pada 22 Disember depan di Megastar Arena Kuala Lumpur dan akan berusaha memberi persembahan terbaik.

Meneruskan kelangsungan hidupnya dengan pendapatan menyanyi, Mamat berkata, dia banyak membuat latihan vokal menerusi persembahan pentas dihadiri dan baginya itu sudah memadai berserta pengalaman dimiliki.

Sumber:BH