Zamani dedah hasrat Saleem sertai Gegar Vaganza tidak kesampaian

KUALA LUMPUR: Hasrat Allahyarham Saleem (Iklim) untuk menyertai program realiti Gegar Vaganza tidak kesampaian.

Perkara itu didedahkan oleh rakannya, penyanyi Zamani Slam yang pernah bercakap mengenai perkara itu dengan Saleem beberapa tahun lalu.

“Kami ada berbual dan bergurau untuk masuk Gegar Vaganza beberapa tahun lalu sewaktu dia sihat.

“Saya amat terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan dia dalam keadaan sedar. Saya ada melawatnya selepas kemalangan namun dia tidak boleh bercakap.

“Allahyarham memang senang untuk memberikan kerjasama terutama ketika di studio rakaman. Suaranya memang tiada ganti,” katanya kepada mStar Online.

Zamani ditemui ketika menziarahi jenazah Allahyarham Saleem di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Saleem atau nama sebenarnya, A.M Salim Abdul Majeed menghembuskan nafas terakhir di HUKM pada pagi Ahad.

Penyanyi berusia 57 itu terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 21 September lalu.

Kemalangan tersebut mengakibatkan tulang rusuknya patah dan dia berada dalam keadaan koma.

Sementara itu, penyanyi Datuk Hattan memberitahu beliau pernah merakamkan sebuah lagu bersama Saleem namun tidak berpeluang untuk dilancarkan.

Ujarnya, kali terakhir mereka berkongsi pentas yang sama semasa menjayakan sebuah konsert jelajah di Sabah penghujung tahun lalu.

“Kami berdua ada merakam sebuah lagu. Tetapi ia tidak pernah dilancarkan.

“Kali terakhir saya berjumpa Allahyarham adalah pada bulan Disember lalu ketika sama-sama menjayakan konsert jelajah di Sabah.

“Saya agak ralat kerana sepatutnya saya dan isteri melawatnya dua minggu lalu namun dibatalkan saat akhir kerana perlu pulang ke kampung,” katanya.

Jenazah dibawa ke Surau As-Syakirin, Bandar Mahkota Cheras dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Cheras Perdana selepas Zohor tadi.

Sumber: mStar