Janji Linda Nanuwil

PENYANYI Linda Nanuwil memohon maaf disebabkan ‘menghilang’ daripada industri dan berjanji menebus kehilangannya dengan kembali memeriahkan industri muzik tempatan.

Linda, 34, berkata, dia menghilang selama ini disebabkan dirinya mengubat kesedihan terhadap kehilangan kedua ibu bapanya yang meninggal pada sekitar tahun 2008 dan 2009.

“Kehilangan itu benar-benar memberi kesan besar dalam hidup saya. Bayangkan saya kehilangan mereka dalam tempoh dua tahun berturut-turut.

“Jujur, saya hampir hilang arah ketika itu memandangkan saya sangat rapat dengan mereka. Merekalah yang selalu menemani saya kalau terbabit mana-mana tawaran seni.

“Sehinggakan, saya terpaksa nyahaktif segala sosial media disebabkan mahu menyendiri ketika itu. Tidak sangka, saya akhirnya ‘berehat’ terlalu lama tidak seperti dirancang.

“Saya mohon maaf kepada semua peminat atau sesiapa juga yang lama menantikan kemunculan semula saya. Kini saya sudah bersedia fizikal dan mental untuk kembali rancakkan kerjaya nyanyian,” katanya.

Penyanyi dari Ranau, Sabah itu juga menyangkal pelbagai spekulasi tercetus mengenai kehilangannya selama ini termasuklah khabar angin yang mengatakan dia sudah berkahwin dan berkeluarga.

“Sebenarnya sejak saya memutuskan pulang ke kampung halaman, pelbagai gosip liar bertebaran mengenai saya. Saya sendiri mendengar macam-macam cerita namun lebih baik berdiam.

“Ada yang mengatakan saya sudah berkahwin, pindah ke luar negara dan macam-macam lagi. Hakikatnya, saya ada saja dan tinggal di Kota Kinabalu dan masih solo,” katanya.

Berkongsi mengenai kemunculan semulanya, Linda berharap dia masih diterima baik dalam industri muzik tanahair.

“Saya tahu pancaroba industri muzik sekarang sangat berbeza. Saya harapkan semoga saya diterima dengan begitu positif dan mendapat sokongan.

“Saya juga akan melancarkan sebuah single baru ciptaan sendiri pada pertengahan November nanti. Bagaimanapun, lagu itu belum ada judul yang ditetapkan,” katanya.

Linda pernah mencipta fenomena pada 2004 apabila menjadi naib johan program realiti Akademi Fantasia musim kedua (AF2). Single nyanyiannya berjudul Jika Kau Kekasih juga meledakkan lagi namanya selepas itu.

Selain itu Linda juga turut mendapat jolokan ‘Pesona Bintang’ dari pengarah tersohor, Datuk Yusuf Haslam.

Welcome back,Linda. Semoga sukses. Jangan hilang lagi bah!

 

 

Sumber:hMetro