Berkemungkinan lumpuh, Elyana bakal buat radioterapi

 

PENYANYI Elyana berkata buat pertama kalinya dia bakal menjalani rawatan radioterapi di sebuah hospital di ibu negara bermula pada Rabu.

Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 31, memberitahu doktor memaklumkan barah limfoma itu sudah dikesan di sekitar saraf tunjangnya.

“Doktor sudah berjumpa saya dan sekejap lagi saya akan mulakan sesi rawatan radioterapi.

“Ini kali pertama saya menjalani rawatan ini, tak pernah lagi sebab selama ini saya hanya buat kemoterapi.

“Doktor cakap saya punya lymph nodes dah ada kat saraf tunjang, kalau saya tak buat apa-apa boleh menyebabkan lumpuh,” katanya yang bakal menjalani 10 kali sesi rawatan itu.

Penyanyi lagu Tak Tercapai Akalmu ini berkongsi mengenai perkara itu di laman Instagram miliknya.

Sebelum ini, Elyana mengejutkan peminatnya apabila mengumumkan dia menghidap kanser tahap empat ketika membuat ucapan selepas tersingkir daripada meneruskan pertandingan program Gegar Vaganza tahun lalu.

Elyana berkata, dia disahkan menghidap kanser limfoma sejak tujuh tahun lalu dan pernah menjalani kemoterapi antara 5 hingga 7 kali sejak 2014.

Radioterapi atau terapi sinaran ialah satu kaedah perubatan untuk merawat dan mengawal sel-sel barah.

Dalam pada itu, Elyana turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua peminat yang mendoakan kesihatannya.

“Ramai yang mesej bagi doa semangat, terima kasih banyak kepada semua, walau tak dapat balas satu-satu tapi saya baca semua.

“Ada pesakit kronik yang mesej, saya selalu bagi semangat. Alhamdullilah, saya happy sangat sebab saya fikir dalam tak langsung saya bermanfaat untuk orang lain,” ujarnya.

 

Kuat semangat Elyana ni. Go Nana,Go!! 

 

 

Sumber:mStar