SHAH ALAM: : Biarpun mengetahui keadaan kesihatannya benar-benar tidak mengizinkan, Zamani tetap memberanikan diri naik ke pentas untuk membuat persembahan pada konsert kelima Gegar Vaganza 5.
Zamani yang sepatutnya menyampaikan lagu “Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta” dendangan asal Flybaits, tidak dapat meneruskan nyanyiannya ketika berada di pentas.
Namun di kala penonton tergamam melihat situasi yang janggal itu, Zamani dibantu penonton yang sama-sama menyanyikan lagu itu selain juri Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk AC Mizal.
Malah hos rancangan, Nabil Ahmad dan Jihan Muse turut menemani Zamani di atas pentas.
“Zamani sebenarnya tidak sihat. Dari semalam dia hilang suara,” kata Jihan.
Dalam komen mereka, Khatijah dan AC memuji keberanian Zamani dan menyifatkan penyanyi itu seorang legenda yang mampu menghiburkan biarpun tidak mengeluarkan suara.
Datuk Ramli MS pula cuba membantu apabila meminta band mengolah susunan muzik, namun Zamani hanya mampu menyampaikan baris pertama lagu itu.
Menurut Datuk Ramli, suara Zamani telah ‘koyak’ dan meminta untuk mengadakan perbincangan dengan pihak produksi tentang status Zamani dalam program berkenaan kelak.
Dalam pada itu, penaja utama program tersebut, Datuk Aliff Syukri turut memohon pihak Astro untuk tidak menyingkirkan Zamani pada minggu ini kerana menyifatkan penyanyi itu berani berdepan cabaran walaupun mempunyai masalah kesihatan.
Sumber:Awani,Kosmo