“Peringkat awal memang ada rasa putus asa” -Datin Alyah

Lebih lima tahun mendirikan rumah tangga bersama maestro muzik, Datuk Ramli M.S, Datin Alyah mengakui bahtera perkahwinan yang dilayari ada pasang surut.

Bagaimanapun, dari semasa ke semasa masing-masing kian matang di dalam memahami pasangan, seterusnya bahagia hingga kini.

“Rasanya ada yang tahu kami pernah alami situasi yang boleh dikatakan sukar. Pada peringkat awal, memang ada rasa putus asa. Tetapi saya terfikir, Allah dah bagi satu benda yang saya sendiri tak terfikir.

Kami saling mengenali antara satu sama lain, cuma orang luar yang fikir bukan-bukan. Kenapa jarang ambil gambar bersama dan sebagainya. Kami tetap keluar bersama macam pasangan lain, cuma jarang ambil foto saja.

“Kalau sempat ambil tu, ambillah. Cuma kalau suami tidak berapa gemar untuk selfie bersama saya sebagai isteri kenalah akur, hormat dengan permintaannya. Siapa yang rapat dengan saya, tahulah kehidupan kami bagaimana. Ya, normal seperti pasangan suami isteri lainnya,” kata Alyah kepada MH.

Terdahulu, penyanyi kelahiran Gelang Patah, Johor ini ditemu bual sejurus selesai menjalani rakaman program The Stage Media Hiburan menyampaikan single terkininya, Jutaan Purnama.

Pada masa sama, Alyah tidak menafikan sebagai public figure dia tidak boleh puaskan hati semua orang.

“Orang boleh cakap apa sahaja tapi yang melalui adalah kami. Ini rumah tangga saya, kalau asyik tunjuk kebahagian depan orang tapi kita tak tahu apa akan jadi pada masa depan. Allah pegang semua tu,” terang Alyah yang turut memberitahu, hingga kini dia reda kerana belum ada rezeki untuk timang cahaya mata sendiri.

“5 tahun kahwin tanpa zuriat. Bagi saya Allah belum bagi rezeki lagi, Dia tahu apa yang terbaik. Sebelum ini pun saya pernah ada keinginan untuk cari ikhtiar. Misalnya dengan melakukan rawatan IVF, tetapi biarlah kena pada masanya.

Kini saya agak sibuk dengan komitmen kerja. Risau andai buat rawatan ia perlukan rehat secukupnya. Kalau buat IVF saya kena fokus betul-betul 3 bulan tanpa fikirkan hal lain.

“Soal bersedia memang dah lama memandangkan usia pun dah cecah 37 tahun. Cuma andai Allah nak beri maka Dia akan bagi, begitu juga sebaliknya. Dia tahu apa yang terbaik buat kita,lalu saya pohon yang sebaiknya untuk kami, insyaAllah,” akhiri Alyah.

 

 

Sumber:Media Hiburan