SITI Nurhaliza terus sibuk dengan karier sebagai penyanyi dan ahli perniagaan kecantikan selain tugas sebagai isteri dan ibu di rumah.
Ibu Siti Aafiyah Khalid, 10 bulan yang masih menyusukan anaknya juga sudah memulakan latihan menyanyi, menari dan bersama-sama pemuzik untuk konsert jelajah Dato Sri Siti Nurhaliza On Tour yang bakal berlangsung di tiga buah bandar raya utama Asia Tenggara -Jakarta, Singapura dan Kuala Lumpur.
Konsert itu, bakal dipentaskan bermula hujung minggu Februari dan Mac ini.
Melihat Siti Nurhaliza dan tenaganya, mengundang pertanyaan di hati.
Pada majlis sidang akhbarnya, Siti mampu berdiri selama sejam melayan wawancara wakil media TV dan internet secara bergilir gilir menemu ramahnya.
Sesudah itu, bersambung duduk pula di meja bulat, melayan wawancara dengan media cetak. Itu tak termasuk program bersama-sama peminat di sana sini. Dan Siti tidak pernah merungut walaupun ia mengambil masa berjam-jam.
Siti sentiasa kelihatan bertenaga dan masih mampu beraksi di pentas tanpa kelihatan penat.
Balik ke rumah, Siti meneruskan aktiviti hariannya, melayan anak dan menyediakan hidangan untuk keluarga.
“Siti suka makan bawang putih mentah, dibakar (untuk merangupkan) atau diricih halus dan dimakan bersama-sama madu lebah.
Amalkan, setiap pagi. Lima ulas atau lebih, pun bagus.
“Apa yang Siti lakukan ini, diajar oleh suami ( Datuk Sri Khalid Mohd Jiwa). Dah bertahun suami menggalakkan, Siti dan keluarga, menitik beratkan soal menjaga pemakanan dan senaman.
“Sedap makan bawang putih ni. Kalau tak biasa memanglah tak lalu. Tapi kalau selalu diamalkan, rasa selesa.
“Bawang putih ini bagus bukan sahaja baik untuk elak masalah selesema tapi ia membantu menjaga kesihatan dalaman badan dan meningkatkan, sumber tenaga.
Siti juga amalkan makanan sunah Rasulullah, iaitu Habatul Sauda. Selain itu, setiap hari minum banyak air putih bersih.
“Apatah lagi, bila mengambil makanan tambahan, seperti vitamin tertentu lagilah kena banyakkan minuman air putih membantu buah pinggang bekerja.
“Selain itu, di rumah Siti sering sajikan menu salad dibuat sendiri , itu juga antara kesukaan suami selain kami mengamalkan beras perang.
Ada harinya kami berdua melakukan aktiviti berbasikal di Ulu Langat selain main (angkat) besi di gimnasium di rumah.
“Dan Siti tak `ikat perut’ atau berdiet. Suka makan banyak buah-buahan dan makanan yang memberikan sumber baik untuk tubuh, apatah lagi Siti masih menyusukan anak. Kalau sibuk di luar Siti akan pastikan akan `bekalkan’ susu badan kepada anak,” ceritanya.
Jadinya, kepada peminat-peminat yang ingin sihat bertenaga, jom tiru macam Siti!
Bercerita tentang Siti Aaafiyah yang kian membesar, tambahnya,“Tak lama lagi majlis ulang tahun pertamanya akan diadakan. Kata suami, bukankah lagi dua bulan tapi Siti dah teruja memikirkan aturcara untuk majlis itu.
Nak ajak kawan-kawan yang ada anak sebaya atau lebih, meraikannya. Dan kami akan bermesyuarat mengenainya. Tak tahu lagi nak buat di mana, masih dalam perbincangan,” katanya.
Siti juga mengaku tak mampu berpisah lama-lama dengan anaknya.
“Tak boleh kalau tak tengok dia walaupun sehari. Terpaksa meninggalkannya kalau nak ke luar negara (bekerja) itu pun diharap tak dalam tempoh lama,” akui Siti.
TIKET KONSERT LARIS
MENGEJUTKAN jualan tiket Konsert Dato Sri Siti On Tour laris macam pisang goreng panas di Singapura. Dalam waktu singkat dah sold out!
Untuk ketiga-tiga lokasi pada dewan yang mampu memuatkan antara 6,000 hingga 7,000 tempat duduk, baik di Jakarta, Singapura dan Kuala Lumpur, Kota Singa hanya tinggal hanya satu lagi sahaja tempat duduk setakat 23 Januari baru-baru ini.
“Begitu juga dengan Jakarta dan Kuala Lumpur, tiket-tiket berjalan dengan baik kebanyakan 70 peratus sudah terjual. Pada 29 dan 30 Januari ini, saya bersama-sama Siti akan berada di Indonesia untuk promosi konsert dan single Anta Permana,” kata pengurus Siti, Rozie Razak.
Konsert itu akan dipentaskan di Istora Senayan, Jakarta pada 21 Februari, 2 Mac di Singapore Expo, Singapura dan 16 Mac Arena Axiata.
Harga tiket RM1,295 (meet and greed) , RM495, RM395, RM255 dan RM155 ( layari www.myticketasia untuk tempahan) . Istimewanya, ada peminat-peminat yang sanggup membeli tikey untuk ketiga-tiga lokasi!
“Selain itu pihak penganjur konsert Shiraz Projects Sdn Bhd juga akan menyiapkan dokumentari khas filem They Call Me Siti untuk perjalanan karier Siti melibatkan cerita Siti sedari awal menyanyi dan Siti terlibat dalam pembikinannya,” cerita Rozie.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK
Sumber:Urtv