SUNGAI PETANI: BENARKAH cuaca panas yang keterlaluan menjadi faktor mengapa ular sawa, ular batik serta tedung selar keluar dari habitat mereka?
Persoalan itu barangkali ada kaitannya dengan kes tangkapan ular di sekitar daerah Kuala Muda yang dilaporkan meningkat dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda Kapten (Pertahanan Awam), Azahar Ahmad, jumlah kes tangkapan ular pada Januari dan Februari 2018 seperti direkodkan ialah sebanyak 174 kes telah meningkat kepada 208 kes pada tahun ini.
Peningkatkan 34 kes pada tahun ini, kata Azahar, berkait rapat dengan keadaan cuaca yang terlalu panas.
“Kita dapati bahawa antara faktor peningkatan kes membabitkan tangkapan ular ini ialah keadaan cuaca yang terlalu panas, selain faktor sampingan seperti habitat mereka diganggu, diceroboh atau dimusnahkan.
“Kes-kes yang diterima pula kebanyakannya membabitkan ular sawa batik serta ular berbisa seperti tedung selar,” kata Azahar seperti dilaporkan Bernama pada Selasa.
Azahar turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada pada setiap masa selain memastikan kawasan rumah bersih daripada sampah yang boleh menjadi ‘rumah’ kepada reptilia terbabit.
“Berhati-hati semasa hendak memakai kasut serta semasa menggunakan tandas kerana dibimbangi reptilia terbabit berada di situ untuk menyejukkan badan atau berteduh.
“Sentiasa pastikan tingkap, pintu rumah atau lubang pada pintu bertutup bagi mengelakkan ular menyusur masuk ke dalam rumah, serta periksa bahagian enjin kereta yang merupakan tempat ular sering menumpang teduh,” katanya. – BERNAMA
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK
Sumber: astroawani