Resipi Asli Asam Pedas Melaka

Selain terkenal dengan sejarah peradaban dan tempat tinggalan para penjajah zaman dahulukala, Melaka juga terkenal dengan masakannya yang pedas dan menyelerakan.

Salah satu juadah yang sering menjadi tarikan ketika melawat bandar bersejarah ini tidak lain tidak bukan tentulah hidangan Asam Pedas.

Resipi yang kami kongsikan kali ini memang asli sebab dihasilkan sendiri selebriti yang berdarah keturunan Melaka iaitu Asmidar.

Asmidar yang merupakan bekas juara program nyanyian Vokal Bukan Sekadar Rupa ini juga sering membantu bapanya berniaga makanan di Wangsa Maju.

Terima kasih Asmidar sebab sudi berkongsi resipi!

ASAM PEDAS MELAKA ASLI

Bahan-bahan:

  • 4 ketul ikan parang
  • 3 biji bawang merah
  • 1 ulas bawang putih
  • 2 cm halia
  • 1 mangkuk cili kering (dikisar)
  • 3 cm belacan
  • 2 cm kunyit hidup
  • 1 sudu besar lada hitam
  • 3 batang serai (dititik)
  • 1 sudu teh halba
  • Daun kesum
  • Bunga kantan
  • Bendi
  • Terung
  • Air asam jawa
  • Garam
  • Gula
  • Minyak masak

Cara membuat:

Kisar bawang merah, bawang putih, halia, cili, belacan, kunyit dan lada hitam. Panaskan minyak dan tumis halba sehingga kekuningan. Masukkan bahan yang telah dikisar tadi bersama serai. Tumis hingga garing dan pecah minyak.

Apabila sudah garing, masukkan gula diikuti daun kesum dan bunga kantan. Kemudian, masukkan ikan. Kacau perlahan sebelum memasukkan air asam jawa mengikut kepekatan kuah yang diinginkan. Sesudah itu, masukkan bendi atau terung. Akhir sekali, perasakan dengan garam dan gula. Biarkan ia mendidih sebelum dinikmati. 

 

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber: nona