Ingatkan Diri Dengan 3 Perkara Ini Setiap Hari

Manusia dan tanggungjawab sememangnya suatu gandingan yang tidak boleh dipisahkan.

Lahirnya seorang manusia, maka di bahunya juga tergalas amanah yang perlu dilaksanakan, tidak kiralah amanah sebagai seorang anak, pelajar, pekerja atau siapa sahaja.

Jika kita perhalusi lagi soal amanah dan tanggungjawab ini, maka kita akan mendapati bahawa- keputusan sama ada untuk melaksanakan sesuatu tanggungjawab atau hanyalah dipengaruhi oleh dua perkara iaitu akal dan hati.

Dua punca inilah yang akan cuba memahami tanggungjawab yang ada, menilai seterusnya membuat keputusan, tindakan apakah yang perlu diambil supaya tanggungjawab tersebut dapat dilunaskan.

Ada kalanya, tindakan kita akan dipengaruhi nafsu sehingga hadir rasa lemah semangat, malas dan hilang rasa untuk berusaha.

Jika perasaan ini telah menyelubungi diri sehingga kita tidak dapat bertindak dengan baik, maka ada tiga perkara yang perlu diingatkan kepada diri setiap hari.

#1- Allah Akan Bantu

Dari Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda,

احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلاَ تَعْجِزْ

“Semangatlah dalam hal yang bermanfaat untukmu, minta tolonglah pada Allah, dan jangan malas (patah semangat).”(HR. Muslim no. 2664)

Imam Nawawi mengatakan tentang hadis di atas, “Bersemangatlah dalam melakukan ketaatan pada Allah, selalu berharaplah pada Allah dan carilah dengan meminta tolong padaNya. Jangan patah semangat, iaitu jangan malas dalam melakukan ketaatan dan jangan lemah dari mencari pertolongan. ” (Syarh Sahih Muslim, 16: 194).

Allah tidak akan meletakkan tanggungjawab di atas bahu kita dan meninggalkan kita begitu sahaja.

Bukankah beserta kesukaran itu ada kesenangan? Allah tidak akan meninggalkan hambaNya terkontang-kanting dalam kepayahan. Maka kita perlu sentiasa sebutkan pada diri bahawa “Allah akan bantu”.

#2- Aku Mampu Bila Allah Bantu

Apabila Allah bantu maka tidak ada perkara yang mustahil untuk dilakukan.

Khabib, seorang peninju yang baru sahaja memenangi perlawanan tinju UFC tempoh hari berkata, jika Allah sudah dipihaknya, tidak ada yang mampu mengalahkan dan dia pasti menang.

“Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”(Surah An-Nahl 16:128)

#3- Buat Sekarang

Kita sentiasa marah jika ditipu orang, namun tanpa kita sedari, kita juga sering menipu diri sendiri.

“Sekejap lagi”

“5 minit lagi”

“Petang ni lah” bertukar ke “malam ni lah” dan akhirnya bertukar ke “esok lah”

Kita bersikap lewah dengan masa, padahal tidak ada yang tahu pun nasib seseorang walau seminit yang akan datang. Dari Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW memegang bahuku dan bersabda,

“Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing atau penyeberang jalan.” Ibnu Umar RA berkata, “Jika kamu berada di petang hari, jangan menunggu pagi hari, dan jika engkau di pagi hari janganlah menunggu petang, manfaatkanlah masa sihat. Sebelum datang masa sakitmu dan saat hidupmu sebelum datang kematianmu.”(HR. Bukhari)

Setiap kali anda rasa ingin bertangguh, beri amaran kepada diri dengan berkata; “Buat sekarang!”

Mulakan tabiat tidak bertangguh ini dari perkara-perkara kecil seperti membasuh terus pinggan selepas makan, membuang sampah, melipat selimut sejurus bangun dari tidur dan mengemaskan meja setelah selesai diguna.

Percayalah tindakan yang kecil ini akan mempengaruhi tindakan yang lebih besar kelak.

Manusia sebenarnya mampu berusaha melakukan yang terbaik dalam hidup, cuma minda dan hati sering ragu lalu membantutkan tindakan yang ingin diambil.

Semoga tiga tips di atas mampu membantu kita yang ingin terus berusaha menjadi manusia yang teguh memikul tanggungjawab dan akhirnya berjaya di mata Allah SWT.

 

 

 

Sumber: tzkrh.com

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber:qalamdakwah